EKONOMI > BERITA

E-PEMBAYARAN CATAT PENINGKATAN, TRANSAKSI E-PEMBAYARAN RUNCIT TERPILIH CECAH RM698.1 BILION PADA 2024

24/03/2025 03:32 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- E-pembayaran mencatatkan peningkatan pada 2024, disokong oleh kerancakan aktiviti penggunaan, dengan jumlah nilai transaksi e-pembayaran runcit terpilih meningkat sebanyak 17 peratus, mencecah RM698.1 bilion, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

BNM menerusi Laporan Tahunan 2024 yang dikeluarkan hari ini berkata transaksi keseluruhan e-pembayaran meningkat sebanyak 28 peratus kepada 14.7 bilion transaksi tahun lepas berbanding 11.5 billion transaksi pada tahun sebelumnya.

Menurutnya perbankan dalam talian kekal paling banyak digunakan dengan peningkatan 24 peratus pada 2024, sementara dari segi saluran, bahagian perbankan mudah alih mencatatkan 62 peratus, lebih tinggi daripada perbankan internet.

“E-pembayaran kedua paling banyak digunakan ialah transaksi e-wang yang meningkat sebanyak 25 peratus pada 2024 berbanding 26 peratus sebelum ini, dengan sebanyak 64 peratus daripada transaksi itu dikaitkan dengan dompet elektronik (e-dompet), dengan bakinya kepada e-wang berasaskan kad.

“Kad pembayaran merupakan kaedah e-pembayaran ketiga paling banyak digunakan dengan peningkatan transaksi sebanyak 20 peratus pada 2024, kad debit menyumbang 68 peratus daripada jumlah transaksi kad pembayaran dan penggunaan kad debit meningkat dua kali lebih cepat berbanding kad kredit (24 peratus berbanding 12 peratus),” kata bank pusat.

BNM berkata transaksi kad tanpa sentuh terus meningkat disebabkan oleh kelajuan dan kemudahannya, membentuk 83 peratus daripada urus niaga kad pembayaran di premis fizikal sepanjang tahun.

Menurutnya pertumbuhan itu disokong oleh penggunaan yang semakin meningkat dalam penggunaan dompet mudah alih di Malaysia seperti Apple Pay, Google Pay dan Samsung Pay serta pengembangan sistem pembayaran tol terbuka di lebih banyak lebuh raya.

Bank pusat itu turut melaporkan bahawa penerimaan transaksi e-pembayaran terus mendapat perhatian dalam kalangan perniagaan terutamanya perusahaan bersaiz lebih kecil dengan penggunaan QR DuitNow terus meningkat memandangkan kemudahannya, kos yang lebih rendah dan liputan yang luas.

Bank pusat berkata sebanyak 2.6 juta titik penerimaan DuitNow QR berdaftar di seluruh Malaysia pada penghujung 2024.

Rangkaian peniaga DuitNow QR yang lebih luas telah menyumbang kepada peningkatan urus niaga lebih daripada dua kali ganda dengan jumlah nilai transaksi berjumlah RM31.1 bilion, katanya.

Dari segi memperluas hubungan pembayaran Malaysia antara Malaysia dan Indonesia, Singapura dan Thailand, BNM berkata jumlah transaksi pembayaran QR rentas sempadan oleh kedua-dua pelawat asing di Malaysia dan rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara meningkat lebih lima kali ganda kepada 4.1 juta transaksi bernilai RM348.3 juta pada 2024.

Menurutnya transaksi 'peer-to-peer' (P2P) merentas sempadan juga mencatatkan pertumbuhan ketara, dengan jumlah urus niaga meningkat kepada 234,000 transaksi bernilai RM200 juta pada 2024 berbanding 1,000 transaksi bernilai RM534,000 pada 2023.

Menjelang suku kedua 2025, BNM berkata rakyat Malaysia yang melancong ke Kemboja juga akan dapat membuat pembayaran kepada peniaga Kemboja yang menerima pembayaran kod QR menggunakan aplikasi pembayaran mudah alih sedia ada mereka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan