EKONOMI > BERITA

PERMINTAAN DOMESTIK AKAN TAMPAN EKONOMI MALAYSIA DARIPADA KETIDAKPASTIAN LUAR - GABENOR BNM

24/03/2025 06:53 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Permintaan domestik yang kukuh akan terus menampan ekonomi Malaysia daripada ketidakpastian luaran termasuk kemungkinan kesan daripada pengenaan tarif Amerika Syarikat.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata ekonomi Malaysia berada pada kedudukan yang utuh.

“Kita berada dalam kedudukan yang kukuh. Kita mempunyai permintaan domestik yang sangat teguh dan ini akan terus menyokong pertumbuhan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran laporan utama BNM di sini, hari ini.

Beliau berkata penggunaan swasta akan disokong oleh prospek pendapatan yang lebih tinggi, keadaan pasaran buruh bertambah baik serta lembaran imbangan isi rumah yang positif sekali gus menyediakan penampan kepada ekonomi.

Pelaburan swasta yang diterajui oleh kitaran meningkat pelaburan dan kadar realisasi pelaburan diluluskan yang tinggi juga akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi domestik, katanya.

Beliau berkata jumlah pelaburan diunjurkan berkembang sebanyak 9.3 peratus pada 2025, disokong oleh keadaan permintaan luar dan domestik yang mampan, sentimen positif pelabur, akses syarikat yang berlanjutan kepada pembiayaan serta realisasi projek juga berterusan.

Abdul Rasheed berkata pelancongan juga dijangka berperanan penting pada 2025 dengan ketibaan pelancong, dan kunjungan pada tahun ini dijangka melepasi tahap prapandemik, dipacu oleh kesambungan penerbangan yang lebih baik, lanjutan polisi tanpa visa dan promosi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Beliau berkata prospek pertumbuhan pula bergantung kepada ketidakpastian luaran yang lebih besar termasuk dasar perdagangan yang lebih ketat dan langkah balas yang lebih kukuh serta peningkatan konflik geopolitik.

“Berdasarkan semua elemen ini, hal ini juga boleh mengakibatkan sentimen perniagaan yang lemah, dan keyakinan peribadi juga hambar, jadi mereka berbelanja kurang sedikit. Ini juga boleh menjejaskan pertumbuhan, dan juga inflasi," katanya.

Mengenai dasar monetari, Abdul Rasheed memberikan bayangan bahawa bank pusat itu mungkin mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.0 peratus sepanjang 2025.

Beliau berkata BNM akan terus menumpukan untuk mengekalkan persekitaran kestabilan harga yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi domestik yang mampan.

“Dalam keadaan ketidaktentuan dasar global, BNM mengikuti semua perkembangan ini dengan sangat teliti dan kekal berwaspada terhadap potensi kesan ke atas ekonomi Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan