KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Catcha Digital Bhd, Catcha Theta Holdings Sdn Bhd (Catcha Theta) memeterai perjanjian penjualan saham bersyarat (SSA) untuk membeli 92.5 peratus pegangan ekuiti dalam Theta Service Partner Sdn Bhd (Theta) pada RM35 juta.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, Catcha Digital menjelaskan pembelian itu akan dibahagikan kepada empat bahagian masing-masing pada RM5.9 juta, RM6.6 juta, RM11.2 juta dan RM11.3 juta.
Pembelian strategik itu menandakan pengembangan Catcha Digital ke dalam sektor penyelesaian perisian perbankan khususnya dalam perisian pengasalan pinjaman, jelasnya.
Theta ialah penyedia perisian pengasalan pinjaman terkemuka untuk institusi kewangan melalui produk utamanya ORIGINS -- penyelesaian pinjaman komprehensif yang menyelaraskan operasi merentas segmen runcit, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan komersial.
Pengerusi Catcha Digital Patrick Grove berkata pembelian itu mewakili penyertaan strategik dalam sektor perisian perbankan dan sejajar dengan visi pihaknya untuk membina syarikat teknologi digital yang komprehensif.
“Perkara yang mengagumkan kami mengenai Theta Group adalah kepakaran domain mereka yang mendalam mengenai sistem pengasalan pinjaman, dibuktikan oleh hubungan mereka yang telah terjalin lama dengan institusi kewangan utama merentas pelbagai pasaran,” katanya.
Pembelian itu sejajar dengan visi Catcha Digital untuk mempelbagaikan perniagaannya dengan menceburi perniagaan penyelesaian teknologi maklumat dan membina syarikat digital terkemuka di ASEAN, menyasarkan ekonomi digital yang berkembang pesat di rantau ini, bernilai RM1 trilion menurut laporan e-Conomy SEA 2024 oleh Google, Temasek dan Bain & Company.
Syarikat itu terus mencari pelaburan dan pembelian strategik yang melengkapkan segmen sedia ada di samping mengembangkan kehadirannya dalam ekonomi digital melangkaui media digital.
Catcha Digital mengumumkan enam pembelian strategik dalam tempoh lima bulan lepas, termasuk pembelian Theta, masing-masing berkedudukan untuk memperkukuh kedudukannya dalam ekonomi digital dan menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan.
Pembelian Theta dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan kumpulan Catcha Digital susulan potensi sumbangan pendapatan tambahan daripada Theta Group.
Bagaimanapun, tiada jaminan bahawa Theta Group akan terus mencatatkan keuntungan pada masa hadapan atau manfaat yang diharapkan daripada pembelian Theta akan direalisasikan pada masa hadapan.
Pembelian itu dijangka selesai menjelang suku ketiga 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial