KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Subsidiari milik penuh firma pembinaan Nestcon Bhd, Nestcon Infra Sdn Bhd (NISB) tekah memperoleh kontrak berbilai RM100 juta untuk kerja-kerja tanah di Mukim Kerling, Hulu Selangor.
Nestcon melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata kontrak dari Alam Casana Sdn Bhd itu membabitkan kerja-kerja tanah yang meliputi 242 ekar sebagai sebahagian daripada pembangunan Beringin High Tech Auto Valley seluas 800 ekar, yang dinaungi oleh Chery Smart Auto Industrial Park berkeluasan 200 ekar di Lembah Beringin.
"Pembangunan ini bertujuan untuk mewujudkan perbandaran automotif bersepadu yang akan menarik bakat, pelaburan serta inovasi, menjadikan Hulu Selangor sebagai hab serantau untuk pembuatan automotif dan teknologi canggih automotif bertaraf dunia," kata Nestcon.
Projek itu akan bermula pada 3 April 2025 dan dijadualkan siap menjelang 2 Julai 2026, dengan tempoh liabiliti kecacatan selama 24 bulan.
"Penerimaan NISB terhadap projek itu dijangka memberi kesan positif kepada aset bersih syarikat sesaham, pendapatan sesaham dan penggearan sepanjang tempoh projek," kata Nestcon.
Nestcon tidak menjangkakan apa-apa risiko melampaui cabaran operasi biasa.
"Bagaimanapun, syarikat itu akan mengambil langkah-langkah yang diperlukan bagi mengurangkan risiko apabila ia berlaku," katanya lagi.
Ia juga mengesahkan bahawa tiada pengarah atau pemegang saham utama mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial