EKONOMI > BERITA

PENGENALAN TARIF AS TERHADAP MEXICO, KANADA DAN CHINA MAMPU TINGKATKAN EKSPORT MALAYSIA - MITI

24/03/2025 09:06 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Pengenalan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas Mexico, Kanada dan China boleh membuka peluang kepada pengeksport Malaysia meningkatkan pengeluaran dan menggandakan eksport mereka ke AS.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata meskipun tidak membawa impak langsung terhadap eksport Malaysia tetapi kenaikan harga produk dari negara-negara yang dikenakan tarif akan menjadikan produk Malaysia sebagai alternatif pasaran lebih kompetitif.

"Negara pelabur juga dijangka akan mencari sasaran destinasi pelaburan baharu serta sumber produk yang kompetitif untuk mengelakkan bayaran tarif tinggi," kata MITI dalam jawapan lisan bagi menjawab pertanyaan Senator Robert Lau Hui Yew.

Beliau meminta MITI menyatakan impak ke atas ekonomi Malaysia akibat polisi protektif AS terutamanya dalam bentuk peningkatan tarif dan langkah-langkah yang diambil untuk meminimumkan impak tersebut.

Kerajaan berpandangan adalah terlalu awal untuk menyimpulkan bahawa dasar perlindungan perdagangan AS akan menjejaskan ekonomi Malaysia dari segi kesan ke atas prestasi eksport dan negara kehilangan pelaburan serta syarikat-syarikat multinasional akan berpindah keluar, kata MITI.

Menurutnya, pemindahan operasi sesebuah syarikat tidak dilaksanakan dalam satu jangka masa pendek tetapi perlu mengambil kira pelbagai faktor termasuk daya upaya syarikat untuk pelaburan baharu yang bersifat jangka panjang.

"Malaysia mempunyai kekuatan tersendiri untuk menarik pelaburan asing ke negara ini serta menggalakkan projek baharu, pelbagaian dan pembesaran.

"Kementerian melalui agensinya iaitu Lembaga Pembanguan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengamalkan strategi fokus negara dan mengenal pasti peluang-peluang pelaburan dengan mengambil kira persekitaran geopolitik semasa dan hala tuju negara-negara rakan kongsi termasuklah ketidaktentuan polisi AS.

“Strategi ini akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa mengikut situasi," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan