KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Kerajaan MADANI mengumumkan peruntukan dana kumulatif berjumlah RM1.5 bilion bagi menyokong inisiatif pendigitalan perniagaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara dengan matlamat meningkatkan daya saing perniagaan.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata dana ini diwujudkan melalui kerjasama strategik awam swasta melibatkan agensi kerajaan dan rakan sokongan termasuk institusi kewangan, bank digital, platform pembiayaan antara rakan setara (P2P) serta penyedia perkhidmatan tempatan.
Katanya, peruntukan ini akan menyediakan penyelesaian digital bagi PMKS selain menawarkan kemudahan pembiayaan digital yang menyokong keperluan operasi harian komuniti berkenaan.
"Daya saing dalam landskap perniagaan hari ini bergantung kepada pemanfaatan teknologi digital dalam pelbagai sektor seperti runcit, perkhidmatan makanan, pelancongan, pembuatan, perkhidmatan serta pertanian bagi merangsang hasil, kecekapan dan produktiviti.
"Saya akui sesetengah perniagaan berdepan dengan kos pelaksanaan yang tinggi walaupun mengguna pakai teknologi digital, oleh itu inisiatif ini diperkenalkan bagi mengurangkan halangan tersebut selain memperluas manfaat pendigitalan kepada lebih ramai usahawan, katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran program Inisiatif Pendigitalan Perniagaan (BDI) di sini, hari ini.
Program BDI yang dipelopori Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di bawah seliaan Kementerian Digital menyediakan bantuan kewangan, latihan dan bimbingan kepada PMKS.
Program ini juga mempercepatkan penggunaan digital dengan memberi akses kepada penyelesaian yang disubsidi seperti platform e-dagang, pengkomputeran awan dan alat pengurusan perniagaan berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Dalam satu sidang media selepas majlis pelancaran berkenaan, Gobind turut menekankan mengenai sejumlah besar PMKS yang masih belum mendigitalisasi perniagaan mereka disebabkan kekurangan kesedaran, kekurangan kemahiran teknikal dan kekangan kewangan.
"Satu daripada cabaran utama iaitu kekurangan bakat apabila ramai yang tidak sepenuhnya menyedari bagaimana pendigitalan dapat memperkasakan perniagaan mereka manakala yang lain pula tidak mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk menggunakan teknologi tersebut.
"Sepanjang empat bulan yang lepas, MDEC dengan kerjasama SME Corporation Malaysia (SME Corp) menjalankan program latihan intensif untuk membantu PMKS mengharungi platform digital, menggunakan sistem perbankan digital dan mengintegrasikan teknologi ke dalam perniagaan mereka," katanya.
Pada majlis tersebut, MDEC turut memeterai beberapa memorandum persefahaman (MoU) dengan SME Corp, institusi kewangan, bank digital, platform pinjaman P2P dan penyedia perkhidmatan tempatan bagi memperluas akses PMKS kepada pembiayaan, alat digital dan latihan yang diperlukan untuk penggunaan digital.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, sebanyak 21 penyedia perkhidmatan e-invois yang diiktiraf oleh MDEC akan menawarkan penyelesaian e-invois secara percuma dan kos rendah untuk PMKS.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial