KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Grab Malaysia memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi menyokong usaha pendigitalan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di bawah Inisiatif Pendigitalan Perniagaan MDEC.
Grab dalam satu kenyataan berkata pihaknya komited memanfaatkan teknologi bagi memacu pemerkasaan ekonomi dan pertumbuhan terangkum bagi perniagaan, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh Asia Tenggara.
Pada 2023 sahaja, lebih 500,000 PMKS yang baru berdaftar di seluruh Asia Tenggara mendapat akses kepada pengguna melalui platform Grab.
"Di Malaysia, berdasarkan kajian terkini oleh EconWorks, rakan perniagaan di platform ini menyumbang sebanyak RM4.2 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara pada 2023," katanya.
Grab berkata aplikasi GrabMerchant yang menyediakan cerapan berasaskan data untuk perniagaan menjadi antara instrumen yang tersedia untuk menyokong pertumbuhan PMKS.
Sementara itu, Pengarah Urusannya, Adelene Foo berkata kerjasama dengan MDEC akan membantu memperluas sokongan untuk lebih banyak PMKS di Malaysia selain meningkatkan penyertaan mereka dalam ekonomi digital.
"MoU ini menandakan satu langkah lagi dalam usaha berterusan Grab untuk menyokong perniagaan tempatan dan kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan MDEC dan rakan-rakan yang sehaluan untuk menyumbang kepada pembangunan negara.
"Selain itu kerjasama ini dapat memastikan lebih ramai rakyat Malaysia memanfaatkan ekonomi digital," katanya.
Sementara itu, bank digital GX Bank Bhd (GXBank) dalam satu kenyataan berasingan berkata pihaknya juga memeterai MoU dengan MDEC bagi memacu transformasi digital PMKS di Malaysia.
Ketua Turus GXBank Hildah Hamzah berkata dengan merapatkan jurang ini, pihaknya dapat memperkasakan PMKS dengan akses, peluang dan sokongan yang mereka perlukan untuk berkembang maju dalam ekonomi.
“Kami sedang merintis bersama peniaga Grab dengan hasil yang memberangsangkan dan teruja untuk memperkenalkannya kepada sektor PMKS dalam beberapa bulan akan datang.
"Melalui MoU ini, kami berharap dapat bekerjasama dengan MDEC dan rakan industri bagi memastikan sokongan dan inisiatif yang berterusan untuk PMKS, memupuk ekosistem pembiayaan yang lebih terangkum dan mereka boleh berkembang maju,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial