KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Keuntungan bersih Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) bagi tahun kewangan berakhir 31 Jan, 2025 (TH2025) melonjak lebih tiga kali ganda kepada RM129.15 juta daripada RM36.88 juta pada tahun sebelumnya.
Menurut syarikat itu, keuntungan bersih yang lebih tinggi itu disumbangkan oleh kos pembiayaan bersih yang lebih rendah, didorong oleh tukaran asing tidak direalisasikan yang menggalakkan susulan liabiliti pajakan yang tidak dilindungi dan pelunasan aset tidak ketara yang lebih rendah, diimbangi oleh pendapatan yang lebih rendah sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) serta perbelanjaan cukai yang lebih tinggi.
Bagaimanapun, Astro dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata perolehan merosot kepada RM3.08 bilion daripada RM3.34 bilion sebelumnya berikutan penurunan dalam hasil langganan dan hasil pengiklanan.
Menurut Astro, perolehan televisyen menyusut sebanyak lapan peratus kepada RM2.90 bilion daripada RM3.15 bilion, terutamanya disebabkan oleh penurunan dalam hasil langganan dan hasil pengiklanan.
Sementara itu, perolehan radio bagi tahun semasa lebih rendah sebanyak RM15.1 juta atau 8.1 peratus, berbanding dengan tahun yang sama disebabkan oleh sentimen pengguna yang lemah mendorong kepada perbelanjaan pengiklanan yang lebih rendah.
Bagi suku keempat berakhir 31 Jan, 2025, keuntungan bersih syarikat itu susut kepada RM10.49 juta daripada RM44.38 juta pada suku yang sama tahun lalu, manakala perolehan turut merosot kepada RM766.41 juta daripada RM819.85 juta sebelumnya.
Dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Euan Daryl Smith berkata syarikat akan memberi tumpuan kepada usaha menarik ramai pelanggan baharu, mengukuhkan perniagaan berkaitan dan mengurangkan kos legasi.
“Tiga tonggak ini menjadi panduan kami menuju TH2026 ketika kami terus membentuk Astro sebagai destinasi hiburan dan penstriman nombor satu di Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial