KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Exsim Hospitality Bhd (EHB) Exsim Concepto Sdn Bhd memperoleh beberapa projek berkaitan kelengkapan dalaman bangunan dengan nilai kontrak agregat berjumlah RM127.9 juta.
Menurut pemain industri hospitaliti itu yang mempelbagaikan perniagaan kepada kelengkapan dalaman bangunan pada tahun lepas, ini boleh dianggap sebagai urus niaga pihak berkaitan yang berulang, bersifat perolehan atau perdagangan berikutan pemegang saham utamanya mempunyai kepentingan ekuiti dalam syarikat yang memberikan lima kontrak itu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, EHB berkata kontrak terbesar bernilai RM100 juta diberikan oleh Uni Land Sdn Bhd bagi kerja-kerja reka bentuk, pengubahsuaian, baik pulih dan berkaitan kelengkapan dalaman bagi hotel 456 bilik di Empire City Damansara, Petaling Jaya yang dirancang.
Exsim Concepto turut meraih projek bernilai RM12.6 juta daripada Exsim Development Sdn Bhd yang melibatkan kerja-kerja seni bina, struktur, mekanikal dan kejuruteraan, reka bentuk dalaman dan kelengkapan dalaman bangunan bagi rumah pameran dua tingkat di Jalan Yap Kwan Seng di ibu negara.
Satu lagi kontrak membabitkan Exsim Lumba Kuda Sdn Bhd bagi kerja-kerja pengubahsuaian, reka bentuk dalaman dan pembinaan galeri jualan Lumba Kuda dan unit pameran di Tingkat 10, Plaza Pelangi, Johor bernilai RM8.51 juta.
Exsim MX4 Sdn Bhd yang bersama-sama menjalankan projek pembangunan bercampur di Kwasa Damansara memberikan kontrak bernilai RM6.11 juta kepada Exsim Concepto bagi pelaksanaan dan penyiapan reka bentuk dalaman unit pameran Kwasa Plot 3 dan 4 serta kerja-kerja merobohkan.
Tugasan terakhir adalah arahan kerja daripada Mightyprop Sdn Bhd bernilai RM700,000 untuk kerja-kerja pemulihan Galeri Jualan Empire City 5.
Dalam kenyataan hari ini, EHB berkata kerja-kerja kontrak ini akan dimulakan segera dengan tarikh siap antara satu bulan hingga 16 bulan, dengan tempoh paling lama adalah bagi surat lantikan daripada Uni Land.
Pengarah Urusan Tan Hai Liang berkata penambahan kontrak ini meningkatkan nilai perolehan kontrak kumpulan kepada RM243.2 juta.
“Kami yakin dana tambahan yang akan diperoleh untuk tujuan modal kerja menerusi langkah korporat akan datang, membolehkan kumpulan mencapai sumber pendapatan mampan sekurang-kurangnya beberapa tahun akan datang, yang pada akhirnya akan memberi nilai kepada pemegang saham,” katanya.
EHB sebelum ini dikenali sebagai Pan Malaysia Holdings Bhd.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial