EKONOMI > BERITA

SEJUMLAH 79 PERATUS PMKS DIJANGKA RAIH PERTUMBUHAN HASIL PADA 2025

26/03/2025 05:55 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Laporan Tinjauan Perniagaan PMKS Alliance Bank mendedahkan sebanyak 79 peratus perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia dijangka meraih pertumbuhan hasil pada 2025, dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh dan peningkatan penerapan pendigitalan.

Bagaimanapun, laporan itu menyebut disebalik keyakinan itu, peningkatan kos operasi dan kekangan aliran tunai kekal menjadi cabaran utama, dan ini mendorong banyak perniagaan untuk mencari pembiayaan luar bagi mempercepatkan pengembangan.

Ketua Pegawai Perniagaan dan Transaksi Perbankan Kumpulan Alliance Bank Raymond Chui berkata PMKS adalah tulang belakang ekonomi Malaysia, dan keyakinan mereka dalam menghadapi cabaran global adalah bukti kesungguhan dan cita-cita mereka.

“Alliance Bank kekal komited untuk memperkasakan PMKS dengan penyelesaian pembiayaan yang cepat, mudah, dan tanpa cagaran bagi mengembangkan perniagaan mereka secara mampan, memastikan mereka membina asas yang kukuh untuk kejayaan jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan.

Tinjauan itu juga mendedahkan bahawa 69 peratus perniagaan menjangkakan keperluan pembiayaan luar pada 2025, dengan pinjaman bank menjadi pilihan yang paling digemari.

Laporan itu turut menyatakan perniagaan yang mencari sumber pembiayaan pada 2024 menghadapi cabaran, terutamanya perlu melalui proses kelulusan yang panjang.

“Untuk menangani hal ini, Alliance Bank telah mempertingkatkan penyelesaian pembiayaan PKS mereka untuk memudahkan pinjaman perniagaan yang lebih mudah diakses dan tanpa kesulitan.

"Penyelesaian seperti Alliance Digital SME Express Financing dan Alliance Digital SME Cash Flow Financing menyediakan pinjaman tanpa cagaran dengan kelulusan cepat dan terma pembayaran yang fleksibel sehingga tujuh tahun, membantu perniagaan mengurus aliran tunai dengan lebih cekap,” katanya.

Tinjauan itu turut memaklumkan bahawa 75 peratus PMKS merancang untuk melabur dalam peralatan berkaitan pendigitalan bagi meningkatkan produktiviti dan penglibatan pelanggan. Alat pengurusan media sosial dan platform e-dagang disenaraikan sebagai pelaburan yang paling berharga untuk pengembangan perniagaan.

Bagi menyokong PMKS untuk beralih kepada pendigitalan, BizSmart Solution Alliance Bank menyediakan ekosistem perniagaan digital yang komprehensif, menawarkan akses kepada pelbagai penyelesaian dan perkhidmatan pada kadar istimewa, peluang untuk mencapai pelanggan baharu dan pelbagai sumber dalam talian untuk menyokong pertumbuhan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan