EKONOMI > BERITA

MAHB UTAMAKAN KEMAMPANAN DALAM PENGEMBANGAN LAPANGAN TERBANG, OPERASI

26/03/2025 06:53 PM

Oleh Karina Imran

PERTH, 26 Mac (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) komited untuk menyeimbangkan pertumbuhan perniagaan dengan kemampanan, di samping mengembangkan rangkaian lapangan terbangnya dan menarik syarikat penerbangan baru.

Pengurus Besar Kanan Strategi MAHB Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin berkata syarikat itu yang menguruskan 39 lapangan terbang, termasuk lima lapangan terbang antarabangsa, 17 domestik dan 17 lapangan terbang pelepasan dan pendaratan singkat, dengan memfokuskan terhadap pengoptimuman kecekapan terminal.

"Ia adalah sebahagian daripada pelan induk yang kami bangunkan ketika COVID-19 melanda pada 2020. Sejak itu, unjuran juga telah menyebabkan kami mengubah suai dan menyemak semula pelan pengembangan kami," katanya semasa sesi panel di Routes Asia 2025 di sini.

Beliau berkata setiap lapangan terbang terutamanya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), mempunyai pelan induk tersendiri.

"Untuk KLIA, memberi tumpuan terhadap pembangunan dan kecekapan. Matlamat kami adalah untuk menentukan cara terbaik bagi memperkemas pemprosesan penumpang di pelbagai titik sentuh, yang akan membantu meningkatkan kapasiti.

"Ini membolehkan kami menangguhkan peluasan fizikal yang besar sambil mengutamakan penggantian aset," katanya.

MAHB juga melancarkan beberapa inisiatif untuk mengurangkan jejak karbon operasi lapangan terbang, termasuk menggantikan aset lama dengan alternatif yang lebih cekap tenaga dan beralih kepada kenderaan elektrik untuk operasi pengendalian di darat.

Selain itu, ia juga melaksanakan pelan pengurangan karbon untuk setiap lapangan terbang, memberi tumpuan kepada pengurusan sisa, pengumpulan air hujan, pemasangan panel solar, dan elektrifikasi perkhidmatan darat lapangan terbang.

“Berbanding menggunakan pendekatan serupa untuk semua lapangan terbang,  setiap lapangan terbang akan mempunyai sasaran kemampanan masing-masing. Ini bagi memastikan pengurangan karbon yang lebih berkesan di seluruh rangkaian kami,” katanya.

Routes Asia adalah acara penerbangan utama yang menghimpunkan lebih 110 syarikat penerbangan dan 160 lapangan terbang daripada komuniti pembangunan laluan Asia Pasifik.

Diadakan bermula 25 hingga 27 Mac di Pusat Konvensyen dan Pameran Perth, acara ini menarik penyertaan lebih 900 perwakilan termasuk wakil lapangan terbang, syarikat penerbangan, pihak berkuasa pelancongan dan pihak berkepentingan utama dalam sektor penerbangan.

Routes Asia 2025 berfungsi sebagai platform penting bagi pembuat keputusan untuk mengadakan lebih 3,000 mesyuarat secara bersemuka, bertukar-tukar amalan terbaik dan meneroka peluang perkhidmatan udara baharu.

Ia juga menampilkan sesi persidangan yang dikendalikan oleh pakar antarabangsa dalam penerbangan dan pelancongan.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan