BERITA TERGEMPAR   Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 rakam ucapan takziah kepada Myanmar, Thailand dan rakyatnya susulan gempa bumi yang melanda rantau ini pada Jumaat | Malaysia as ASEAN Chair 2025 extends deepest condolences to Myanmar, Thailand and their people following the deadly quake that hit the region on Friday | 
 EKONOMI > BERITA

SYED YASIR ARAFAT MELEPASKAN JAWATAN SEBAGAI CEO EKUINAS PADA 31 MAC

27/03/2025 10:50 AM

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) Datuk Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir akan melepaskan jawatannya pada 31 Mac 2025 selepas 15 tahun menerajui syarikat itu secara transformatif.

Menurut syarikat ekuiti persendirian berkaitan kerajaan itu dalam kenyataan hari ini, Aliff Omar Mohamad Omar, yang kini merupakan Pengarah Kanan Pelaburan akan mengambil alih peranan sebagai pemangku CEO berkuat kuasa 1 April 2025.

Pengerusi Ekuinas Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata Syed Yasir Arafat, sebagai antara anggota perintis Ekuinas, akan meninggalkan legasi kepimpinan dan visi yang besar. 

“Komitmen beliau dalam membina pemimpin masa depan telah menjadi faktor utama dalam menyediakan Aliff Omar untuk peralihan ini.

“Lembaga Pengarah yakin sepenuhnya dengan keupayaan Aliff untuk menerajui Ekuinas kepada fasa pertumbuhan seterusnya selain mengekalkan nilai teras firma ini,” katanya.

Sejak menerajui Ekuinas pada 2016, Syed Yasir Arafat memainkan peranan penting dalam transformasi Ekuinas sebagai sebuah firma ekuiti persendirian terkemuka, menguruskan Dana di Bawah Pengurusan berjumlah RM4.0 bilion dan melaksanakan pelaburan langsung berjumlah RM5.6 bilion dalam 28 syarikat.

Beliau turut menerajui penubuhan Dana Asas, sebuah dana ekuiti persendirian yang memfokuskan kepada syarikat Bumiputera pasaran pertengahan berpertumbuhan tinggi serta memperkenalkan Kredit Persendirian sebagai kelas aset pelaburan baharu.

Sementara itu, Aliff Omar, yang menyertai Ekuinas pada 2017, telah menaiki tangga kepimpinan dalam tempoh singkat dalam organisasi dan merupakan sebahagian daripada pasukan kepimpinan utama, bekerjasama rapat dengan Syed Yasir Arafat dalam aspek strategi dan penciptaan nilai. 

Mempunyai pengalaman selama lebih 16 tahun dalam bidang kewangan korporat, penggabungan dan pengambilalihan serta pasaran modal, beliau telah menerajui pelbagai transaksi berimpak tinggi di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan