EKONOMI > BERITA

PRESTASI KEWANGAN KUKUH LTAT CERMINKAN PENGURUSAN YANG EFEKTIF - AHLI EKONOMI

28/03/2025 07:06 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) memaparkan prestasi kewangan yang kukuh menerusi pembayaran dividen tertinggi dalam tempoh tujuh tahun sekali gus mencerminkan keupayaan pengurusannya yang berkesan, kata ahli ekonomi.

Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra Business School Profesor Dr Ahmed Razman Abdul Latiff menyifatkan kejayaan ini adalah hasil sokongan daripada lembaga pengarah LTAT serta persekitaran ekonomi domestik yang bertambah baik tahun lepas berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata prestasi positif LTAT berkait rapat dengan pertumbuhan pasaran ekuiti domestik tahun lepas, dengan Bursa Malaysia mencatatkan pertumbuhan lebih daripada 12 peratus untuk FBM KLCI.

“Selagi pasaran domestik terus mencatat prestasi positif, LTAT akan sentiasa berupaya mengekalkan prestasi kewangannya. Dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar antara 4.5 hingga 5.5 peratus, prospek LTAT untuk tahun ini kekal optimis,” katanya kepada Bernama.

Ahmed Razman berkata pulangan sebanyak 5.25 peratus disifatkan sebagai kompetitif dan lebih baik berbanding manfaat yang ditawarkan oleh simpanan tetap.

Pada Khamis, LTAT mengumumkan pembayaran keseluruhan sebanyak 5.25 peratus untuk 2024, yang terdiri daripada dividen lima peratus dan bonus 0.25 peratus, yang tertinggi dalam tempoh tujuh tahun, dengan jumlah agihan sebanyak RM514.2 juta, meningkat berbanding RM485.08 juta pada 2023.

 

Dasar kerajaan perkukuh kewangan LTAT 

Ahmed Razman menekankan dasar kerajaan berperanan penting dalam menyokong kedudukan kewangan LTAT berikutan pembuat dasar menyasarkan untuk memastikan impak positif terhadap perniagaan, termasuk LTAT.

Sehubungan itu, libat urus yang berterusan antara LTAT dan kerajaan amat penting untuk memastikan tiada ketidakselarasan dengan dasar baharu dan akan datang yang diperkenalkan oleh kerajaan.

Mengulas mengenainya, Profesor ekonomi Sunway Universiti  Dr Yeah Kim Leng berkata LTAT menerima manfaat daripada dasar kerajaan yang menyokong dalam pelbagai kaedah seperti layanan keutamaan dalam pelaburan strategik dan kontrak perolehan untuk perniagaan yang dimiliki secara langsung atau tidak langsung oleh LTAT.

Bagi pertumbuhan yang mampan, beliau berkata LTAT perlu menumpukan kepada industri baharu, berkembang pesat dan sangat menguntungkan yang sejajar dengan pelan pelaburan strategiknya untuk memaksimumkan pulangan dalam jangka pendek, sederhana dan panjang.

“Pelaburan dalam industri bernilai tinggi bukan sahaja akan memacu pertumbuhan LTAT malah meningkatkan produktiviti ekonomi dan meningkatkan Malaysia dalam rantaian nilai,” katanya.

 

LTAT disaran perluas kepelbagaian aset 

Yeah menyambut baik prestasi kewangan LTAT yang mantap dan menurutnya, selain prestasi positif dana simpanan dan pelaburan awam lain, ia akan menyumbang kepada pendapatan isi rumah yang lebih tinggi dan keyakinan pengguna yang teguh.

Beliau berkata, bagi dana jangka panjang, kemampanan kewangan bergantung kepada peruntukan aset yang kukuh, dengan kepelbagaian memainkan peranan penting dalam mengimbangi risiko dan pulangan.

“Oleh itu, semua pelaburan di pasaran domestik menimbulkan risiko besar sekiranya ekonomi tempatan merosot.

“Dana itu perlu secara beransur-ansur membangunkan keupayaan pelaburan antarabangsanya dan dipelbagaikan kepada aset asing yang selamat sebagai antara kelas aset pelaburan," katanya.

Ahmed Razman menyokong pandangan ini, dengan menekankan bahawa kepelbagaian aset adalah penting memandangkan kelas aset yang berlainan memberikan prestasi berbeza dalam keadaan ekonomi yang pelbagai.

Beliau berkata langkah LTAT untuk meningkatkan pendedahan ekuitinya pada tahun lepas dalam keadaan pertumbuhan dua digit pasaran saham, menyumbang kepada pulangan yang lebih baik.

“Pasaran domestik Malaysia sememangnya mempunyai kelebihan dan kekurangan. Ketidaktentuan global boleh menjejaskan prospek ekonomi domestik.

“LTAT perlu mengkaji semula model pelaburan peruntukan aset strategiknya untuk mempertimbangkan portfolio kepelbagaian yang lebih luas dalam pelaburannya dan mungkin termasuk pelaburan asing,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan