AM > BERITA

Sarifah Reda Pemergian Suami Tercinta Semasa Menunaikan Haji

20/05/2025 10:08 AM

Daripada Nurliyana Farhah Ruslan

MAKKAH, 19 Mei (Bernama) -- Walaupun amat sedih namun Sarifah Hasan, 57, reda dengan pemergian suaminya, Abdullah Mat, 59, antara jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia ketika menunaikan ibadah tawaf awal pagi tadi (waktu tempatan).

“Saya menerima panggilan selepas subuh daripada pihak hospital… ketika itu, saya mendapat perkhabaran bahawa suami saya sudah tiada.

“Saya tergamam, terus menangis dan memeluk rakan-rakan sebilik. Namun waktu itu saya belum tahu pun suami dirawat di hospital mana, cuma diberitahu beliau berada di zon kecemasan,” katanya kepada media di sini hari ini.

Sarifah juga mengakui bahawa beliau amat bergantung kepada suaminya yang berkhidmat di Jabatan Tanah dan Galian Kota Bharu dalam banyak urusan harian namun tetap tabah ketika menerima perkhabaran duka itu.

“Anak-anak saya cakap ‘Mak kuat, Mak, abah orang yang terpilih. Allah pilih dia pergi di tempat yang baik.’ Mereka pujuk saya supaya reda dan teruskan hidup,” katanya dalam nada sebak.

Sementara itu, Ashri Mohamed, 52, yang juga rakan sebilik Abdullah adalah individu terakhir yang berada di sisinya ketika beliau rebah semasa menunaikan tawaf di pusingan kelima pada kira-kira 2.30 pagi.

“Ketika itu kami baru selesai solat dan terus melakukan tawaf. Pada pusingan kelima, arwah mula bergerak perlahan dan saya perasan dia semakin lemah. Saya rapat ke belakangnya dan ketika dia hampir rebah, saya sempat menyambut tubuhnya,” kata beliau.

Ashri berkata Abdullah rebah berhampiran tanda lampu hijau (tempat memulakan tawaf) di dalam kawasan tawaf dan seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai doktor dari India segera membantu sebelum bantuan perubatan tiba kira-kira 10 minit kemudian.

Abdullah disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung pada 4.15 pagi di Hospital Jiwar, Jabal Qamar di sini, kira-kira seminit sebelum azan subuh berkumandang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan