Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour menggesa negara anggota ASEAN meningkatkan pelaburan sektor swasta dalam projek iklim memandangkan keperluan pelaburan yang besar di rantau ini.
Bercakap pada sesi persidangan Meja Bulat Pelabur ASEAN, di sini, hari ini, beliau berkata walaupun kemajuan menggalakkan dalam kalangan negara anggota dalam meletakkan asas untuk menggerakkan modal swasta kepada pembiayaan menangani iklim, ia masih tidak mencukupi.
"Menyalurkan hanya lima peratus daripada pembiayaan daripada pelabur institusi Asia kepada aktiviti berkaitan iklim boleh menjana aliran tahunan tambahan sebanyak US$8 bilion hingga US$10 bilion (US$1=RM4.44). Tetapi lebih banyak lagi diperlukan untuk memenuhi matlamat iklim yang amat besar di rantau ini.
"Dengan anggaran US$422 bilion yang diperlukan menjelang 2030 untuk mitigasi dan penyesuaian iklim, masih terdapat jurang yang besar antara keperluan pembiayaan dan aliran pembiayaan semasa. Tidak ada mana-mana pihak boleh atau harus menanggungnya sendirian," katanya.
Abdul Rasheed berkata pendekatan praktikal, kolaboratif yang melibatkan sektor awam, swasta dan dermawan penting untuk merapatkan jurang antara keperluan pembiayaan dan aliran pembiayaan semasa.
Beliau juga percaya perkongsian awam-swasta-dermawan sangat wajar dan penting untuk membuka potensi penuh bagi usaha penyahkarbonan ASEAN.
Mengenai usaha memacu agenda penyahkarbonan rantau ini, beliau berkata Grid Kuasa ASEAN (APG) merupakan inisiatif kritikal untuk memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat sambil menyediakan asas yang kukuh untuk ASEAN yang lebih mampan, mengukuhkan keselamatan tenaga serantau dan seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi.
Selain itu, komitmen iklim yang semakin meningkat dan keperluan mendesak untuk mencapai pelepasan sifar bersih memerlukan negara anggota untuk meningkatkan projek pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) jauh lebih besar daripada sebelumnya, katanya.
“Oleh itu, kita mesti terus meneroka kaedah inovatif bagi pelaburan kurang berisiko dan memastikan pembiayaan yang sesuai tersedia di semua peringkat pembangunan projek, terutamanya untuk inisiatif berskala besar dan jangka panjang seperti projek APG dan CCS,” katanya.
Abdul Rasheed berkata pembiayaan gabungan semakin digunakan untuk menangani cabaran pembiayaan ini, menggabungkan dana awam, swasta dan dermawan untuk mengurangkan risiko dan menarik lebih banyak pelaburan.
Selain itu, kewangan Islam juga menawarkan instrumen kewangan yang pelbagai dan berdaya maju, termasuk struktur kewangan gabungan, yang boleh digunakan untuk memudahkan peralihan rantau ini ke arah ekonomi yang lebih mampan dan inklusif.
“Dengan memanfaatkan instrumen kewangan Islam, negara ASEAN boleh mengakses pelabur yang lebih meluas, termasuk mereka yang mencari pilihan pelaburan patuh Syariah.
"Saya mempelawa komuniti pelaburan untuk memanfaatkan ekosistem kewangan Islam yang pelbagai dan matang di Malaysia," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial