EKONOMI > BERITA

TARIF AS MUNGKIN JEJAS EKSPORT MINYAK SAWIT NAMUN MALAYSIA PUNYA KELEBIHAN DAYA SAING

07/04/2025 07:17 PM

PUTRAJAYA, 7 April (Bernama) -- Tarif baharu yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) mungkin memberi impak kepada eksport minyak sawit Malaysia, namun negara ini mempunyai kelebihan daya saing berbanding pengeluar minyak sawit utama, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Pada 2 April lepas, Presiden AS Donald Trump mengumumkan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus kepada Malaysia.

Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata walaupun tarif berkenaan menjejaskan eksport global, kadar tarif Malaysia yang secara perbandingan lebih rendah menawarkan sedikit kelebihan berbanding Indonesia dan Thailand, yang masing-masing berdepan tarif sebanyak 32 peratus dan 36 peratus.

"Sudah tentu, ia pada mulanya akan memberi kesan kepada kami kerana akan ada gangguan dan sebagainya. Tetapi jika anda melihat kegunaan minyak sawit, terutamanya untuk AS, mereka masih memerlukan kuantiti yang banyak untuk pasaran tertentu seperti produk manisan.

“Kebanyakan produk ini bergantung kepada minyak sawit kerana dasar lemak trans dan lain-lain,” katanya kepada pemberita selepas majlis memeterai perjanjian pelesenan dan pengkomersilan antara MPOB dan SumiSaujana Group Bhd di sini hari ini.

Perjanjian itu bertujuan memanfaatkan teknologi milik MPOB untuk mengeluarkan dan mengkomersialkan bahan perantaraan berasaskan sawit, poliol berasaskan sawit dan poliol poliester berasaskan bio.

Mengulas lanjut, Ahmad Parveez berkata pasaran minyak sawit AS agak kecil bagi Malaysia, hanya menyumbang kira-kira satu peratus daripada jumlah eksport minyak sawit. Bagaimanapun, ia kekal penting kerana penggunaan minyak sawit secara khusus di negara itu.

"Apa yang penting minyak sawit di AS kebanyakannya digunakan sebagai minyak khusus, bukan untuk masakan umum. Jadi, permintaan akan sentiasa ada. Ia mungkin memberi sedikit kesan pada mulanya, tetapi akhirnya, ia tidak akan menjadi isu utama," katanya.

Mengenai kepelbagaian pasaran, Ahmad Parveez berkata Malaysia terus mengukuhkan jejak globalnya dan tidak bergantung kepada mana-mana pasaran tunggal.

“Apa sahaja yang berlaku di Eropah, sama ada dengan  Peraturan Produk Bebas Penyahhutanan (EUDR), sebelum ini Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui yang Disemak (RED II), dan kini dengan tarif AS, kami percaya yang akan menderita adalah pengguna mereka.

“Bagi kami, kami bergerak melangkaui minyak sawit komoditi kepada penggunaan yang bernilai tinggi,” katanya.

Ahmad Parveez berkata Malaysia mencatatkan peningkatan ketara dalam eksport ke Filipina tahun lepas dan terus mengejar peluang baharu merentasi ASEAN dan rantau utama lain.

"Sekarang, dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN kami berharap dapat meningkatkan eksport di rantau ini. Perkara yang paling penting ialah mengekalkan hubungan kukuh dengan semua negara pengguna minyak sawit," katanya.

Terdahulu hari ini, firma penyelidikan CIMB Securities berkata eksport minyak sawit Malaysia ke AS akan dikenakan tarif import 10 peratus bermula serta-merta, dan mulai 9 April, tarif AS akan meningkat kepada 24 peratus untuk minyak sawit Malaysia dan 32 peratus untuk minyak sawit Indonesia.

Ia berkata tarif ini akan meningkatkan kos minyak sawit untuk pengguna akhir AS dan kenaikan harga yang disebabkan oleh tarif berkemungkinan mendorong pengeluar dan pengguna makanan AS menggantikan minyak sawit dengan alternatif domestik harga yang lebih kompetitif, seperti minyak soya.

Pada 2024, Malaysia mengeksport 191,000 tan minyak sawit ke AS, mewakili sekitar 10 peratus daripada import minyak sawit AS dan 1.1 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan