EKONOMI > BERITA

TARIF AS BUKAN CABARAN PERTAMA, ASEAN BERDAYA TAHAN DAN PRAGMATIK UNTUK TANGANINYA - PM ANWAR

08/04/2025 03:34 PM

Oleh M.Saraswathi

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Kekuatan ASEAN bukan terletak pada situasi yang menarik perhatian ramai tetapi pada daya tahannya yang telah terbukti dalam mendepani peperangan, krisis dan rampasan kuasa selama hampir enam dekad sejak penubuhannya pada 1967.

Sehubungan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata secara bersama, ASEAN mempunyai keupayaan untuk menangani langkah Washington mengenakan tarif membebankan yang  menyebabkan pasaran global merosot.

Menyuntik keyakinan itu, beliau berkata ASEAN, yang kini di bawah kepengerusian Malaysia, sentiasa bergerak ke hadapan, walaupun adakalanya dianggap perlahan namun terus maju.

Anwar turut menegaskan ASEAN berkembang secara berperingkat dan bukan melalui revolusi.

Oleh itu, tarif yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bukan cabaran pertama kepada multilateralisme atau pun yang terakhir tetapi jika ASEAN terus bertekad – untuk kekal terbuka, pragmatik dan bersatu – ia menjadi bukti bahawa dunia mampu berfungsi lebih baik apabila bekerjasama, kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Persidangan Pelaburan ASEAN 2025 bertajuk: “ASEAN 2025: Membina masa depan berdaya tahan dan terangkum” hari ini.

Persidangan itu diadakan di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 serta mesyuarat-mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata berdasarkan ketidaktentuan yang meningkat, pelaksanaan semula dasar perlindungan dan pelarasan semula rantaian bekalan, ASEAN menjadi simbol harapan berikutan kumpulan itu kekal komited terhadap keterbukaan, kerjasama dan kesinambungan institusi.

“Jumlah perdagangan kita dalam barangan sebanyak US$3.5 trilion. Bagaimanapun, angka ini tidak dijamin. Dengan serangan tarif melanda seluruh dunia dengan cepat, kita sedang menyaksikan keretakan dalam aturan global. Oleh itu, ASEAN perlu lebih bergantung pada keupayaannya sendiri,” kata beliau.

 

Memperkukuh perdagangan antara ASEAN 

Ini bermakna mengukuhkan perdagangan antara ASEAN perlu melangkaui retorik kepada pelaksanaan.

“Liberalisasi tarif di rantau ini sebahagian besarnya telah lengkap tetapi penyelarasan kawal selia, logistik rentas sempadan dan kesalinghubungan digital masih belum selesai. 

“Ia juga bermakna melindungi dan memperluas hubungan luar kita. Dialog dan Rakan Kongsi Sektoral kita meliputi enam benua,” kata beliau.

Anwar berkata hanya beberapa blok serantau mampu mewujudkan rangkaian sedemikian.

Sebagai pengerusi tahun ini, Malaysia akan mengutamakan pemerkasaan semula platform strategik seperti ASEAN Plus Three sebagai mekanisme untuk daya tahan ekonomi.

“Visi kami untuk ASEAN ialah rantau yang makmur, mampan dan inklusif. Ini memerlukan keazaman politik, modal yang besar, ketabahan dan situasi yang baik. Ia juga memerlukan kemajuan yang pesat dalam inisiatif di peringkat subrantau,” kata beliau.

Beliau merujuk Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura sebagai contoh utama.

“Walaupun ini bukan penyelesaian segera, ia tetap satu langkah penting. Dengan mengurangkan halangan dan menyelaraskan dasar antara dua ekonomi yang saling berkait rapat, kita mewujudkan impak yang dapat dijadikan rujukan — satu kajian kes dalam logik ekonomi rentas sempadan,” kata beliau.

Malaysia juga komited untuk melabur dalam pembangunan di kawasan sempadannya seperti di utara Semenanjung dengan Thailand serta sempadan Sabah dan Sarawak dengan Kalimantan untuk menggalakkan aktiviti ekonomi bagi manfaat rakyat di kedua-dua belah sempadan, kata Perdana Menteri. 

Usaha lain termasuklah grid tenaga ASEAN untuk menghantar elektrik dari Vietnam ke Kelantan melalui kabel bawah laut dan seterusnya ke Singapura melalui talian penghantaran daratan serta memperluas jaringan pembayaran ASEAN.

Terdapat juga pelan untuk menggalakkan integrasi ekonomi yang lebih baik bagi membolehkan perniagaan memanfaatkan ASEAN sebagai pasaran dengan lebih baik dan mengembangkan lagi perniagaan yang berkembang maju di peringkat serantau dalam sektor termasuk perkhidmatan kewangan, tenaga, pelancongan penjagaan kesihatan, telekomunikasi dan logistik.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan