KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- UOB Malaysia telah dinobatkan sebagai Bank Terbaik Malaysia di Anugerah Bank Terbaik Dunia 2025 - Asia Pasifik tahunan yang ke-32 oleh majalah Global Finance.
Anugerah Bank Terbaik Dunia Global Finance memberi penghormatan kepada institusi kewangan yang menunjukkan kestabilan jangka panjang, inovasi dari segi teknologi dan kecemerlangan dalam perkhidmatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Ng Wei Wei berkata pengiktirafan oleh Global Finance mengesahkan kepimpinan UOB Malaysia sebagai sebuah bank progresif dan dipacu matlamat yang bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan Malaysia tetapi juga menyokong pelanggan serta komuniti merentasi Malaysia dan rantau ASEAN yang lebih luas.
“Kami berbesar hati mendapat pengiktirafan atas prestasi kewangan yang kukuh serta komitmen terhadap inovasi, kemampanan, kecemerlangan perkhidmatan dan pengurusan komuniti,” katanya dalam kenyataan.
Menurut kenyataan tersebut, UOB Malaysia telah mencapai kemajuan yang ketara dalam kedua-dua perbankan runcit dan borong sepanjang tahun lepas.
Dalam bidang runcit, bank itu berjaya menyepadukan perniagaan perbankan pengguna Citi dan terus mempertingkatkan keupayaan digitalnya dengan aplikasi UOB TMRW yang pernah memenangi anugerah.
UOB Malaysia kini merupakan antara pengeluar kad kredit terbesar di negara ini dan kekal sebagai pemain utama dalam pengurusan kekayaan dan pinjaman perumahan.
Manakala dalam perbankan borong, UOB Malaysia telah membina rekod prestasi yang mantap dalam pengurusan rantaian bekalan kewangan, kesalinghubungan serantau dan pembiayaan mampan.
“Unit Penasihat Pelaburan Langsung Asing bank terus menyediakan sokongan strategik kepada syarikat asing yang ingin melabur di Malaysia dan juga syarikat Malaysia yang ingin berkembang ke ASEAN.
“Pada 2024, bank juga memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kesalinghubungan ekonomi serantau bagi mempertingkat kerjasama rentas sempadan melalui inisiatif seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ),” katanya.
UOB Malaysia juga merupakan peneraju dari segi kemampanan, yang mana portfolio pembiayaan mampan telah meningkat tiga kali ganda sejak dua tahun lepas, disokong rangka kerja komprehensif dalam pelbagai bidang tumpuan strategik termasuk bandar pintar, bangunan hijau, ekonomi kitaran dan pembiayaan peralihan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial