KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) dan PHB Asset Management Bhd (PHBAM) mengumumkan agihan pendapatan interim 2.50 sen seunit untuk unit amanah patuh syariahnya, Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Mac, 2025.
Agihan itu merangkumi bayaran pendapatan asas 2.05 sen dan bonus 0.45 sen seunit. Bayaran bonus itu dibiayai oleh PHB selaku penaja AHB dan akan dibayar kepada satu juta unit pertama yang dimiliki oleh setiap pemegang unit.
“Sebanyak RM116.3 juta akan diagihkan kepada kira-kira 82,000 pemegang unit, menjadikan jumlah keseluruhan agihan pendapatan AHB sejak ia dilancarkan pada 2010 mencecah RM2.31 bilion,” katanya dalam satu kenyataan bersama.
Agihan pendapatan itu akan dibayar secara tunai atau dalam bentuk unit AHB (bagi pemegang unit kurang daripada 10,000 unit) akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank atau akaun AHB pemegang unit pada 14 April, 2025.
Kumpulan PHB juga berkata agihan pendapatan itu telah ditolak zakat dan dikecualikan daripada cukai, kerana PHB dan AHB sudah membuat pembayaran bagi zakat, yang akan diagihkan kepada pihak berkuasa berkaitan.
Menurut kenyataan itu, menerusi pembayaran zakat tersebut, pemegang unit AHB turut menyumbang kepada kebajikan kumpulan asnaf.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan PHB Mohamad Damshal Awang Damit berkata agihan itu mencerminkan keteguhan kewangan PHB sebagai penaja AHB.
“Ia juga memperlihatkan komitmen berterusan kami dalam menyediakan pulangan mampan dan nilai jangka panjang kepada pemegang unit.
“Kami akan terus mengukuhkan portfolio hartanah dan strategi pelaburan bagi memastikan pulangan yang stabil,” katanya.
Baru-baru ini, Kumpulan PHB melaporkan prestasi kewangan cemerlang dengan mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM117.2 juta bagi tahun kewangan 2024 (TH2024), meningkat lebih tiga kali ganda daripada RM31.7 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya.
Pertumbuhan itu didorong oleh pemulihan dalam sektor peruncitan, peningkatan hasil berkaitan hartanah menerusi strategi pengurusan aser yang dipertingkat dan sumbangan daripada aset PHB yang baharu disiapkan.
“Prestasi kukuh ini membantu kami meningkatkan keyakinan pelabur terhadap AHB sebagai instrumen pelaburan dan simpanan, sejajar dengan mandat PHB untuk memperkasakan penyertaan ekonomi Bumiputera sambil menjana pulangan kewangan yang mampan,” kata Mohamad Damshal.
CEO PHBAM Zulkifli Ishak pula berkata tumpuan pada 2025 adalah mengembangkan akses kepada AHB terutamanya pelabur runcit baharu.
“AHB akan membuka unit baharu tidak lama lagi bagi menggalakkan penyertaan golongan Bumiputera, terutamanya generasi muda yang ingin membuat simpanan jangka panjang menerusi pelaburan hartanah,” katanya.
Pemegang unit boleh menyemak jumlah agihan pendapatan di dalam akaun bank atau akaun AHB masing-masing bermula 14 April, 2025 menerusi pengedar sah AHB iaitu Maybank, Ambank, Ambank Islamic dan Bank Islam.
Sebarang pertanyaan, individu berminat boleh menghubungi Perkhidmatan Pelanggan PHBAM di talian 03-7734 0555 atau layari laman web www.phbam.com.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial