KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Empat penerbangan Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke London terjejas akibat gangguan bekalan elektrik di Lapangan Terbang Heathrow London, United Kingdom kata Malaysia Aviation Group (MAG).
Lapangan terbang itu ditutup selepas kebakaran berlaku di stesen janakuasa elektrik berhampiran mengakibatkan bekalan elektrik terputus.
MAG berkata penerbangan Malaysia Airlines MH2 yang berlepas pada 20 Mac, jam 11:37 malam dari Kuala Lumpur ke London telah dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol Amsterdam di Belanda.
Pesawat yang membawa 246 penumpang dan 17 anak kapal itu selamat mendarat pada 6.19 pagi waktu tempatan Amsterdam.
"Penumpang ditempatkan di hotel berhampiran lapangan terbang, ada juga dipindahkan dalam penerbangan lain," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, penerbangan MH4 pada 21 Mac yang membawa 187 penumpang dan 17 anak kapal akan pulang ke Kuala Lumpur dan dijangka tiba pada 3.30 petang waktu tempatan hari ini.
Penerbangan lain yang terjejas ialah penerbangan MH1 dan MH3 dari London ke Kuala Lumpur hari ini.
“Malaysia Airlines amat kesal atas kesulitan dan gangguan yang berlaku menyebabkan rancangan perjalanan penumpang kami terjejas.
"Keselamatan kekal sebagai keutamaan nombor satu kepada Malaysia Airlines," katanya.
Menurut laporan media, lapangan terbang London Heathrow akan ditutup sehingga tengah malam pada Jumaat kerana gangguan bekalan elektrik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial