Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan mengetuai delegasi Malaysia ke Washington hujung bulan ini untuk membincangkan tarif timbal balik yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia.
Beliau akan diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) MITI Mastura Ahmad Mustafa serta para pegawai lain dari kementerian tersebut. Wakil MITI di Kedutaan Malaysia di Washington juga akan menyertai delegasi tersebut.
Tengku Zafrul berkata, Malaysia komited memilih perbincangan secara baik dan membina sambil terus melindungi kepentingan negara di tengah-tengah ketegangan perdagangan yang semakin meningkat akibat daripada pelaksanaan tarif yang diumumkan Presiden AS Donald Trump pada 2 April lepas.
"Pendirian Malaysia, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah kita perlu bertenang dan pada masa yang sama mengadakan perbincangan dan memahami isu yang kita rasa tidak adil terhadap Malaysia.
"Kami tidak mahu melihat peningkatan perang perdagangan kerana ia tidak akan menguntungkan sesiapa. Itu pandangan kita. Kita akan meneruskan perbincangan kita. Kumpulan kita di Washington sudah pun memulakan usaha di sana. Kami mengadakan mesyuarat di Washington dan juga mesyuarat di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO)," katanya kepada media di sini, hari ini.
Menurutnya, dalam semua perbincangan dan rundingan, kementerian itu akan memastikan kepentingan negara sentiasa dilindungi.
Ditanya sama ada negara anggota individu yang berunding dengan AS secara berasingan bercanggah dengan gesaan ASEAN untuk satu suara, beliau menegaskan kepentingan ASEAN bercakap dengan satu suara dalam perkara yang menjadi kepentingan bersama, sambil menyatakan ekonomi kolektif rantau ini memberikan pengaruh yang besar.
"ASEAN, sebagai sebuah blok, agak besar dengan gabungan keluaran dalam negara kasar (KDNK) hampir US$3.8 trilion, menjadikan kita blok ekonomi kelima terbesar di dunia. Dalam bidang kepentingan bersama, adalah penting untuk kita bekerjasama dan bercakap dengan satu suara," katanya.
Bagaimanapun, katanya, setiap negara ASEAN juga mempunyai tahap pembangunan ekonomi yang berbeza dan dinamik perdagangannya sendiri.
“Jika anda melihat defisit perdagangan negara yang berbeza di ASEAN, ia adalah disebabkan oleh pelbagai sebab. Tetapi apa yang penting, kita semua mesti berpegang pada prinsip.
“Saya fikir ASEAN mesti terus memperjuangkan kepercayaan bahawa perdagangan bebas, prinsip multilateralisme, adalah prinsip yang telah membawa ASEAN ke tahap sekarang dan bukan sahaja membawa pertumbuhan ekonomi, tetapi juga telah membawa kestabilan dan kemakmuran kepada rantau ini ” katanya.
Negara anggota rantau Indochina ASEAN paling teruk terjejas akibat tarif dengan Kemboja pada 49 peratus, diikuti oleh Laos (48 peratus), Vietnam (46 peratus), dan Myanmar (44 peratus).
Thailand dikenakan tarif 36 peratus, Indonesia 32 peratus, Brunei dan Malaysia kedua-duanya 24 peratus, Filipina 17 peratus, manakala Singapura pada tarif asas 10 peratus.
Dilaporkan bahawa Presiden AS Donald Trump dan Presiden Vietnam To Lam bersetuju untuk membincangkan perjanjian bagi menghapuskan tarif menerusi panggilan telefon pada 4 April.
Tarif 46 peratus AS akan dikenakan ke atas import dari Vietnam mulai 9 April.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial