EKONOMI > BERITA

AEON CREDIT SERVICE CATAT KEUNTUNGAN BERSIH LEBIH RENDAH PADA RM370.61 JUTA

08/04/2025 09:52 PM

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- AEON Credit Service (M) Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah untuk tahun kewangan berakhir pada 28 Februari 2025 sebanyak 12.6 peratus kepada RM370.61 juta berbanding RM424.01 juta untuk tahun kewangan 2024 yang berakhir pada 29 Februari 2024. 

Kumpulan itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini memberitahu bahawa pendapatannya bagaimanapun lebih tinggi sebanyak 15.1 peratus kepada RM2.20 bilion daripada RM1.91 bilion.

Ini disebabkan oleh peningkatan jumlah transaksi dan pembiayaan bagi kewangan dari tahun ke tahun yang menokok sebanyak 15.3 peratus kepada RM8.414 bilion berbanding tahun sebelumnya. 

 Untuk suku keempat yang berakhir pada 28 Feb 2025, keuntungan bersih adalah lebih baik pada RM130.96 juta atau 10.1 peratus daripada RM118.92 juta yang disaksikan semasa suku keempat tahun kewangan sebelum ini yang berakhir pada 29 Feb 2024.

Perolehan turut melonjak sebanyak 14.6 peratus kepada RM575.04 juta daripada RM501.57 juta pada suku yang sama tahun lalu disebabkan oleh pinjaman dan pertumbuhan pembiayaan yang lebih mantap.  

Kumpulan itu ketika mengulas mengenai prospek berkata ia mengekalkan pendirian perniagaan yang berhati-hati berikutan ketidakpastian dasar perdagangan serta tarif global yang berterusan, ketegangan geopolitik, tekanan inflasi dan turun naik dalam pasaran kewangan global.

Ia akan mengekalkan sikap berhemat, meletakkan penekanan pada aset yang semakin bertambah dan memantau dengan teliti risiko kredit yang wujud dalam portfolio pembiayaannya. 

"Kumpulan juga akan terus meningkatkan keupayaan teknologi maklumatnya bagi mengukuhkan kecekapan operasi sambil mewujudkan ekosistem yang akan dibina dari AEON Group of Companies yang beroperasi di Malaysia (AEON Living Zone) untuk mengembangkan jangkauan pelanggannya.

"Tanpa mengambil kira sebarang keadaan yang tidak dijangka, ia menjangka dapat mengekalkan momentum perniagaan dengan melaksanakan langkah-langkah yang sesuai untuk tahun kewangan yang berakhir pada 28 Feb 2026," katanya. 

 Dalam makluman yang berasingan, kumpulan itu mengumumkan dividen tunggal terakhir sebanyak 14.50 sen setiap saham biasa yang berhubung dengan tahun kewangan 2025, yang akan dibayar menjelang  24 Julai tahun ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan