EKONOMI > BERITA

ABAC MINTA MENTERI KEWANGAN DAN GABENOR BANK PUSAT ASEAN SOKONG AGENDA PERTUMBUHAN 2025

09/04/2025 09:12 AM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

 KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ABAC) meminta sokongan daripada Menteri-Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN untuk menyokong 12 inisiatif strategiknya, yang termasuk rangka kerja Entiti Perniagaan ASEAN (ABE) bagi meningkatkan integrasi ekonomi, keterangkuman dan kerjasama serantau.

Pengerusi ABAC Tan Sri Nazir Razak berkata mesyuarat pada Rabu dengan menteri dan gabenor memberi peluang besar kepada majlis untuk berkongsi agenda mereka bagi meningkatkan integrasi dan pertumbuhan ekonomi dalam kalangan negara anggota tahun ini.

“ABAC telah mengenal pasti 12 inisiatif strategik yang ingin kami laksanakan pada tahun ini dan saya telah membentangkannya kepada menteri-menteri ekonomi beberapa minggu lepas,” katanya.

Menteri-menteri kewangan dan gabenor bank pusat dijadualkan bertemu ABAC hari ini pada Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12. 

Mesyuarat itu akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour diikuti Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Datuk Johan Mahmood Merican sebagai ketua delegasi Malaysia.

“Pada mesyuarat itu, saya akan menggariskan inisiatif tersebut untuk mendapatkan sokongan mereka,” katanya kepada Bernama.

Nazir berkata pihaknya akan mengetengahkan bidang tumpuan kewangan seperti pasaran persendirian di rantau ini.

“Kami ingin memberi tumpuan kepada bidang yang lebih bersifat kewangan seperti pasaran persendirian, tumpuan kepada prospektus ASEAN (IPO) dan perdagangan pasaran karbon serta mewujudkan rangka kerja ABE.

“Mungkin ini akan menjadi keutamaan dalam perbincangan hari ini,” katanya.

Inisiatif ABE bertujuan memperkenalkan klasifikasi baharu syarikat berikutan ABE membolehkan mereka mempunyai kelebihan operasi seperti pergerakan bebas individu dan operasi. 

Sehubungan itu, Nazir menekankan kepentingan rangka kerja ABE, yang menggesa kerajaan ASEAN mewujudkan kategori perniagaan baharu yang memberikan syarikat terpilih lebih fleksibiliti dari segi operasi di rantau ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan