Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan minyak dan gas (O&G) Steel Hawk Bhd dijangka mencatat pertumbuhan dua angka bagi pendapatan dan hasil pada tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025, kata Pengarah Eksekutif Datuk Sharman K. Michael.
Beliau berkata prestasi yang dijangkakan adalah lebih tinggi berdasarkan kontrak semasa, yang akan menyebabkan kumpulan perlu melaksanakan banyak perkara sehingga 2030 dan menyumbang antara RM2.3 bilion dan RM2.5 bilion dalam tempoh lima tahun.
"Kami telah membawakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan baharu dan turut melantik semula Ketua Pegawai Operasi (COO) kami yang sedia ada untuk menjadi Pengarah Urusan bagi anak syarikat.
“Semua penstrukturan ini berikutan kami mahu mengembangkan portfolio perniagaan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Pada Februari, kumpulan itu mengumumkan pelantikan Afizul Md Yusoff sebagai CEO kumpulan berkuat kuasa serta-merta manakala Khairul Nazri Kamarudin dilantik semula daripada COO kepada Pengarah Urusan Steel Hawk Engineering Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Steel Hawk dan kontraktor panel bagi kerja-kerja pembinaan dan pengubahsuaian Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
Alias Anuar menggantikan Khairul Nazri sebagai COO kumpulan baharu.
Syarikat tersenarai di Pasaran ACE ini mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM12.65 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024 berbanding RM7.22 juta setahun sebelumnya.
Hasil bagi tahun kewangan 2024 turut mengukuh kepada RM78.42 juta berbanding RM72.54 juta didorong terutamanya daripada perintah kerja yang lebih tinggi melibatkan semua segmen perniagaan.
Perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan, dan pengoperasian (EPCC) kekal sebagai pemacu hasil terbesar kumpulan dengan menyumbang sebanyak RM65.49 juta, merangkumi 83.51 peratus daripada jumlah hasil Steel Hawk.
Steel Hawk beroperasi di Terengganu, Sarawak, Johor dan Labuan.
"Kami mempunyai pejabat dan kemudahan di negeri-negeri ini. Kami tidak boleh bergantung hanya kepada Terengganu (pasaran utama) untuk memberikan perkhidmatan kepada semua wilayah ini dan telah menerima kontrak di Pantai Timur, Pantai Barat, wilayah selatan, Sabah dan Sarawak.
“Kami turut meningkatkan kawasan fabrikasi kami di Teluk Kalong (Terengganu) serta kemudahan lain bagi menyokong perniagaan kami,” katanya sambil memaklumkan kumpulan menyasarkan untuk mengembangkan operasi di pasaran Asia Tenggara dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Pada November 2024, Steel Hawk dilantik sebagai kontraktor panel untuk kesemua lima pakej di bawah Petronas dan 27 unit loji operasi hilirannya, menjadikan tawaran itu lebih besar dari segi skala, potensi hasil dan liputan geografi.
Sharman berkata kontrak yang berlangsung selama tiga tahun itu mempunyai pilihan lanjutan setahun dan tambahan setahun lagi, memberikan Steel Hawk kejelasan pendapatan yang kukuh.
Beliau berkata kumpulan itu berhasrat mengukuhkan kehadirannya dalam negara berikutan potensi besar dalam industri O&G Malaysia.
"Bahagian pasaran kami dalam industri kurang daripada satu peratus. Oleh itu, ruang untuk pertumbuhan masih ada. Sudah pasti kami mempertimbangkan untuk meluaskan operasi ke pasaran Asia Tenggara dalam masa terdekat, tetapi pada masa ini tumpuan kami hanya di Malaysia," katanya.
Mengenai pelan pengurangan risiko, Sharman berkata walaupun Petronas adalah pelanggan utamanya, kumpulan itu secara aktif mempelbagaikan operasi dengan pemain O&G lain.
"Kami akan terlibat dalam tender yang sejajar dengan kemahiran dan keupayaan kami yang bertujuan meluaskan peluang dan memupuk kepercayaan dengan pelanggan baharu," katanya.
Ia turut memaklumkan kumpulan itu tidak mengalami kelewatan dalam projek berikutan pengurusan rantaian bekalannya yang cekap dan pemantauan yang proaktif dalam menangani isu dengan segera.
Steel Hawk adalah syarikat perkhidmatan dan peralatan berlesen dengan Petronas yang terlibat terutamanya dalam penyediaan perkhidmatan sokongan dalam dan luar pesisir untuk industri O&G.
Aktiviti perniagaan kumpulan menyediakan sokongan kepada segmen huluan, pertengahan dan hiliran rantaian nilai.
Pada Februari, Maybank Investment Bank Bhd menggariskan beberapa faktor risiko termasuk kebergantungan Steel Hawk kepada Petronas sebagai pelanggan utama, potensi kelewatan dalam pelaksanaan projek dan pendedahan kepada risiko kredit.
Bank pelaburan itu berkata Steel Hawk bergantung kepada Petronas sebagai pelanggan utama yang menyumbang sebanyak 85.8 peratus, 54.5 peratus dan 45.6 peratus daripada jumlah hasil kumpulan pada tahun kewangan 2021 hingga 2023.
Mengenai isu pengagihan gas yang berterusan antara Petronas dan Petros berikutan kehadiran operasi Steel Hawk di Sarawak, Sharman berkata perubahan dalam pengurusan pengagihan gas tidak menjejaskan komitmen kumpulan untuk membuka tender bagi projek berkaitan.
"Apa yang penting adalah kami dinilai berdasarkan kepakaran kami di rantau ini, yang memberi kelebihan kepada kami. Selain itu, kami memegang lesen vendor yang diluluskan Petros, membolehkan kami menyertai tender di Sarawak," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial