Oleh Siti Baaqiah Mamat
KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Pembinaan projek jambatan kedua yang menghubungkan Rantau Panjang, Kelantan, dan Sungai Golok, Narathiwat merupakan langkah penting ke arah memperkukuh ketersambungan serantau dan integrasi ekonomi dalam ASEAN.
Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn berkata jambatan itu terutamanya merupakan inisiatif dua hala sambil menambah pembangunan infrastruktur di mana-mana negara anggota akan menyumbang kepada matlamat yang lebih luas Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).
“Selagi projek infrastruktur utama dibangunkan di setiap negara anggota, ia berfungsi sebagai asas penting bagi integrasi ekonomi ASEAN yang lebih meluas,” katanya kepada Bernama di luar Persidangan Pelaburan ASEAN (AIC), yang memasuki hari keduanya hari ini.
Kenyataan Kao itu selaras dengan apa yang dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengenai pembangunan di kawasan sempadan negara seperti di semenanjung utara dengan Thailand dan sempadan Sabah dan Sarawak dengan Kalimantan bagi menggalakkan aktiviti ekonomi dan memberi manfaat kepada penduduk di kedua-dua pihak sebagai usaha memperkukuh kerjasama perkumpulan itu.
Pada masa ini, Malaysia dan Thailand bekerjasama untuk membina jambatan baharu enam lorong, selari dengan Jambatan Muhibbah sedia ada yang menghubungkan Rantau Panjang di Kelantan, Malaysia, dengan Sungai Golok di Narathiwat, Thailand.
Semalam, media melaporkan Kabinet Thailand meluluskan pembinaan jambatan selari merentasi Sungai Golok, menghubungkan Daerah Sungai Kolok di Narathiwat dengan Rantau Panjang di Kelantan.
Kao seterusnya berkata projek infrastruktur sebegitu bukan sahaja menyokong pembangunan negara tetapi juga meningkatkan kesalinghubungan serantau, menggalakkan perdagangan dan pelaburan serta memperkukuh pelancongan di rantau ini.
Beliau memberi contoh projek utama seperti kereta api berkelajuan tinggi Jakarta-Bandung di Indonesia dan pembangunan kereta api di Laos, yang merupakan pelaburan jangka panjang yang memberi manfaat kepada rantau ini.
Kao melahirkan harapan agar lebih banyak inisiatif rentas sempadan dapat dibangunkan memandangkan projek kerjasama boleh mengukuhkan daya tahan dan perpaduan ASEAN.
Beliau berkata permintaan yang semakin meningkat terhadap perjalanan dan pelancongan dalam era pasca COVID, menunjukkan bahawa perhubungan udara yang bertambah baik sebagai satu lagi bidang kemajuan dalam integrasi ASEAN.
"Anda boleh melihat lebih ramai orang melancong sekarang. Syarikat penerbangan seperti AirAsia sedang mengembangkan laluan merentasi bandar dan ibu kota ASEAN. Ini bukan sahaja menyokong pelancongan tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang lebih luas," katanya.
Kao mengetuai delegasi Sekretariat ASEAN bagi Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 dan mesyuarat berkaitan, yang akan berakhir esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial