Oleh Norsyafawati Ab Wahab & Lucia Terey John
KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Teknologi perlu berperanan sebagai pelindung tamadun, bukan sekadar pemangkin kemajuan, tetapi turut membantu menyelamatkan nyawa serta merapatkan jurang komunikasi, kata seorang ahli akademik China pada Jumaat.
Dekan Eksekutif Akademi Pengajian Komunikasi Antarabangsa dan Serantau (AIRCS) di Universiti Komunikasi China, Zhou Ting berkata kepentingan inovasi teknologi berasaskan akademik seperti DeepSeek jelas terbukti semasa gempa bumi baru-baru ini di Myanmar.
"Selepas kejadian gempa bumi di Myanmar, Sekretariat Perkhidmatan Bahasa Kecemasan Kebangsaan China, bersama Universiti Bahasa dan Kebudayaan Beijing, dengan pantas membentuk pasukan respons dan membangunkan platform terjemahan kecemasan dalam tempoh tujuh jam sahaja," katanya semasa sesi pleno Forum Media dan Kumpulan Pemikir ASEAN-China yang diadakan di sini Jumaat.
Forum Media dan Kumpulan Pemikir ASEAN-China, yang diadakan sempena peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, menghimpunkan profesional media, ahli akademik dan penggubal dasar untuk mengukuhkan kerjasama serantau dalam media, pendidikan dan komunikasi.
Forum itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof. Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, juga hadir.
Sebelum ini, media melaporkan platform terjemahan yang dikuasakan oleh model AI China, DeepSeek telah digunakan untuk menyokong pasukan penyelamat China di kawasan yang dilanda gempa bumi di Myanmar, menawarkan bantuan bahasa masa nyata untuk memudahkan operasi kecemasan.
Platform itu dibangunkan sehari selepas gempa bumi bermagnitud 7.7 melanda Myanmar pada 28 Mac, atas permintaan sekumpulan penyelamat China.
Zhou menekankan bahawa kejadian itu menunjukkan bagaimana teknologi, apabila didukung oleh dunia akademik, boleh diubah menjadi alat untuk menyelamatkan nyawa dan mengatasi halangan bahasa.
Sementara itu, Profesor di Universiti Tsinghua dan Ketua Pakar di Institut Tadbir Urus Antarabangsa AI, Meng Qingguo, berkata pertumbuhan pesat kecerdasan buatan (AI) sedang mengubah industri media global, membawa peluang besar dan cabaran serius.
Beliau menyatakan bahawa AI memudahkan penyebaran maklumat palsu seperti deepfake, yang boleh menggugat kepercayaan awam terhadap media.
Justeru, katanya, terdapat keperluan mendesak untuk mekanisme yang lebih baik bagi memeriksa fakta dan mengesahkan kandungan.
Bagi menangani cabaran ini, Meng berkata China dan Kesatuan Eropah meningkatkan kerjasama rentas sempadan dalam bidang seperti tadbir urus data, perlindungan privasi dan piawaian teknikal AI.
Ini termasuk inisiatif untuk menubuhkan makmal penyelidikan berkuasa AI bagi menyokong pembangunan media dan pemantauan kandungan.
Kedua-dua pihak juga mempromosikan program pertukaran bakat dan latihan bersama untuk profesional media bagi meningkatkan kefahaman tentang peranan AI dalam kewartawanan dan penyampaian cerita.
“Peraturan komprehensif mengenai penggunaan data, privasi dan keselamatan juga sedang dilaksanakan untuk menyokong kerjasama yang selari dengan strategi geopolitik seperti Inisiatif Jalur dan Laluan,” jelasnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial