EKONOMI > BERITA

TIADA PIHAK AKAN MUNCUL SEBAGAI PEMENANG DALAM PERANG TARIF INI - ANDREW SHENG

09/04/2025 05:43 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Tidak ada pihak yang akan muncul sebagai pemenang dalam tindakan tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) atau reaksi serupa daripada sebilangan negara, kata bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Andrew Sheng.

Beliau berkata sebaliknya satu-satunya cara bergerak ke hadapan adalah melalui rundingan dan meminimumkan kerosakan.

Percanggahan pendapat antara Penasihat Perdagangan Presiden Donald Trump, Peter Navarro dan ahli perniagaan Elon Musk menunjukkan isu tarif adalah perkara kontroversial di dalam dan di luar AS, katanya.

“Isu utama adalah siapa yang akan membayar cukai ini?.

“Cukai itu akan ditanggung oleh pengguna dan syarikat Amerika. Rundingan bukan sahaja dengan negara asing. Ada juga perdebatan besar di AS mengenai pihak yang akan membayarnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan pembentangan bertajuk ‘Perspektif ASEAN+3: Peluang Perdagangan dan Pelaburan’ di Persidangan Pelaburan ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Kalangan negara anggota Indo-China ASEAN merupakan yang paling teruk terkesan ekoran tarif ini, dengan Kemboja menghadapi gabungan tarif asas dan tarif balas sebanyak 49 peratus, diikuti Laos (48 peratus), Vietnam (46 peratus), dan Myanmar (44 peratus) yang mula berkuat kuasa hari ini.

Thailand dikenakan tarif 36 peratus, Indonesia 32 peratus, Brunei dan Malaysia masing-masing 24 peratus, Filipina 17 peratus manakala Singapura dengan tarif asas 10 peratus.

Sheng yang juga Pengerusi Institut Pengajian Terbuka dan Lanjutan George Town serta Felow Terbilang Institut Penyelidikan Pasaran Modal (ICMR) berkata Malaysia mempunyai sistem perdagangan terbuka dan faktor utamanya terletak pada amalan memastikan kualiti produk dan perkhidmatannya.

“Dalam bidang semikonduktor, cip itu sendiri dikecualikan. Hal yang kurang jelas adalah berapa banyak peralatan yang digunakan untuk menghasilkan cip, dengan syarikat Malaysia sangat mahir dalam pembuatan ini, akan terjejas?.

“Bagaimanpun hal ini tidak begitu mudah kerana siapa pengimport utama peralatan Malaysia? Bukan orang Malaysia, perkara itu sebenarnya melibatkan syarikat Amerika. Jadi, terpulang kepada syarikat Amerika untuk berunding dengan kerajaan Amerika, berbanding untuk syarikat Malaysia berunding dengan kerajaan Malaysia,” katanya.

Oleh yang demikian, Malaysia mempunyai peluang luas untuk berunding dengan AS mengenai perkara itu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz diumumkan akan mengetuai delegasi Malaysia ke Washington, AS pada akhir bulan ini untuk membincangkan tarif yang dikenakan ke atas Malaysia.

Beliau akan diiringi oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Mastura Ahmad Mustafa, serta pegawai kementerian lain.

Wakil di Kedutaan Malaysia di Washington juga akan menyertai delegasi itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan