EKONOMI > BERITA

AKTIVITI JUALAN SERET BURSA MALAYSIA DITUTUP RENDAH

09/04/2025 06:55 PM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan penyusutan pada akhir dagangan Selasa, diasak aktiviti jualan merentasi papan indeks di tengah-tengah bahang perang dagangan global yang kian meruncing dengan indeks penanda aras melepasi paras 1,400.

Pada 5 petang, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 42.97 mata atau 2.98 peratus kepada 1,400.59 daripada 1,443.56 semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka susut 6.55 mata pada 1,437.01 dan bergerak dalam wilayah negatif antara paras intra harian tertinggi pada 1,438.99 dalam sesi dagangan pagi manakala paling rendah 1,386.63 pada tengah hari.

Sentimen pasaran juga negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 919 berbanding 224 manakala 320 kaunter lain tidak berubah, 887 tidak diniagakan manakala 10 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.77 bilion unit bernilai RM3.79 bilion daripada 3.32 bilion unit bernilai RM2.83 bilion, semalam.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI ditutup rendah di tengah-tengah kebimbangan baharu dicetuskan pengumuman tarif terbaharu oleh Presiden Donald Trump, termasuk duti 104 peratus ke atas barangan China.

“Berikutan tiada sebarang tanda-tanda China ‘berlembut’ dalam rundingan tarif, kami menjangkakan perbalahan perdagangan AS-China terus hangat, berpotensi melangkaui gelombang penggal pertama pentadbiran Trump,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, Mohd Sedek percaya ketika indeks utama itu mengharungi gelombang kedua jualan ketara pada minggu ini, saham-saham berorientasikan domestik mampu bertahan.

“Sektor seperti penjagaan kesihatan, pengguna dan perladangan yang lebih bergantung kepada permintaan domestik, memaparkan daya tahan dan berdepan tekanan rendah berbanding pasaran serantau.

“Impak ke atas Malaysia dijangka lebih terkawal, disumbang oleh pempelbagaian perdagangan negara yang memberi kelebihan berbanding negara-negara jiran,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank turun 38 sen kepada RM9.50, Public Bank rugi 13 sen kepada RM4.09, Tenaga Nasional susut 40 sen kepada RM12.82, CIMB berkurangan 33 sen kepada RM6.35, IHH Healthcare menguncup dua sen kepada RM6.71 dan Hong Leong Bank kehilangan 88 sen kepada RM18.50.

Bagi saham aktif, syarikat yang baharu disenaraikan di Pasaran ACE SumiSaujana turun enam sen kepada 18 sen, MYEG susut 1.5 sen kepada 75.5 sen, Gamuda merosot 18 sen kepada RM3.59, Supermax naik tiga sen kepada 80.5 sen manakala Top Glove tidak berubah pada 82 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas merosot 306.97 mata kepada 10,343.78, Indeks FBMT 100 turun 304.17 mata kepada 10,148.84 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 251.22 mata kepada 10,102.69.

Indeks FBM 70 turun 402.19 mata kepada 14,382.37 manakala Indeks FBM ACE susut 167.64 mata kepada 4,146.26.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 690.47 mata kepada 16,904.82, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 5.01 mata kepada 132.04, Indeks Tenaga berkurangan 31.85 mata kepada 612.59 manakala Indeks Perladangan merosot 134.67 mata kepada 6,839.09.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.28 bilion unit bernilai RM3.56 bilion daripada 1.81 bilion unit bernilai RM2.63 bilion, semalam.

Waran turun kepada 995.82 juta unit bernilai RM87.78 juta daripada 1.18 bilion unit bernilai RM91.02 juta semalam.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan menokok kepada 491.66 juta unit bernilai RM138.32 juta berbanding 336.66 juta unit bernilai RM108.05 juta sebelum ini.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 259.79 juta saham didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (369.89 juta), pembinaan (172.13 juta), teknologi (314.61 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (226.78 juta), hartanah (237.72 juta), perladangan (50.51 juta), REIT (26.71 (26.71 juta), dana tertutup (24,600), tenaga (211.84 juta), penjagaan kesihatan (261.01 juta), telekomunikasi dan media (44.12 juta), pengangkutan dan logistik (35.80 juta), utiliti (67.21 juta) dan amanah perniagaan (383,300).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan