KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Sapura Energy Bhd, Sapura Fabrication Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM40 juta untuk perkhidmatan penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian kemudahan luar pesisir di Semenanjung Malaysia.
Sapura Fabrication, di bawah bahagian perniagaan operasi dan penyelenggaraannya (O&M), akan menjalankan kerja meliputi penyelenggaraan utama bahagian atas, penambahbaikan kemudahan, penyambungan dan pentauliahan untuk kemudahan medan minyak pasca gerudi dan medan minyak akan digerudi, penyelenggaraan riser, penyelenggaraan sistem perangkap perpaipan serta penyelenggaraan tempat tinggal.
“Ini termasuk pengurusan projek, kejuruteraan dan pengurusan pembinaan untuk kedua-dua aktiviti di darat dan luar pesisir, serta penyediaan peralatan dan perkhidmatan yang berkaitan,” kata Sapura Energy dalam satu kenyataan.
Kontrak itu yang berkuat kuasa pada 10 Mac 2025 itu adalah untuk tempoh selama enam bulan, dengan pilihan lanjutan selama enam bulan lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif Sapura Energy untuk O&M Nasri Mehat berkata kumpulan itu sentiasa berwaspada dalam memastikan kemudahan pelanggan kekal selamat dan beroperasi pada kecekapan yang optimum.
“Kami amat menghargai kepercayaan dan sokongan berterusan daripada pelanggan kami dan kekal komited sepenuhnya untuk memberikan kecemerlangan dengan standard keselamatan tertinggi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial