EKONOMI > BERITA

ASEAN MUNCUL ANTARA KUASA EKONOMI DUNIA SELEPAS HARUNGI KESUKARAN -- PM ANWAR

09/04/2025 10:18 PM

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- ASEAN, yang telah mengharungi beberapa tempoh getir akibat ketidaktentuan global, kini muncul sebagai antara kuasa dan pengaruh utama dalam ekonomi dunia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Daripada kejutan mata wang kepada penularan (pandemik) global, kita telah mengalami kesemuanya. Kita telah mengharungi gangguan. Dan setiap kali (berlaku gangguan), kita berjaya membina semula bukan sahaja apa yang kita hilang, tetapi apa yang kita boleh capai," kata beliau menerusi ucaptamanya pada Majlis Makan Malam Gala sempena Kepengerusian Malaysia Trek Kewangan ASEAN, di sini, hari ini.

Ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.Turut hadir pada majlis makan malam gala itu ialah Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour

Bagaimanapun, Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata pengaruh ASEAN, seperti biasa, terletak pada perpaduannya, yakni keupayaan rantau ini untuk mencapai kata sepakat dan mengambil tindakan bersama.

"Inilah sebabnya mengapa Kepengerusian Malaysia dipandu oleh tema Kemampanan dan Keterangkuman, bukan sebagai retorik, tetapi sebagai cita-cita yang praktikal.

“Keterangkuman bermaksud pertumbuhan yang bukan sahaja meningkatkan pasaran tetapi menyentuh kehidupan - menjangkau peniaga kecil, usahawan muda, yang kurang mendapat perkhidmatan dan yang terpinggir.

"Kemampanan, sebaliknya, bermakna lebih daripada kesedaran iklim. Ia adalah tentang kesinambungan: peluang, kestabilan, kepercayaan dalam institusi. Ia mendorong kita untuk merancang dengan berdisiplin, melabur dengan berpandangan jauh, dan bertindak dengan berhati-hati. Trek Kewangan memberikan kita instrumen untuk merealisasikan cita-cita ini," kata beliau.

Sama ada dengan memperdalam perdagangan intra-ASEAN, menyelaraskan rangka kerja bagi kewangan hijau, mengukuhkan jaringan keselamatan atau meluaskan akses kepada modal, Anwar berkata ASEAN sedang membentuk rantau ini seperti yang apa yang dirancangnya, bukan hanya untuk esok tetapi bagi dekad-dekad akan datang.

"Kekuatan ASEAN tidak pernah sama - tetapi sentiasa mencari titik persamaan. Dalam keadaan tenang, kadangkala tidak sempurna, tetapi sentiasa mencapai kata sepakat," kata beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan