EKONOMI > BERITA

TARIF - MUSUH TIDAK DIUNDANG, TINDAKAN SEPIHAK CETUS CELARU DAGANGAN

12/04/2025 01:37 PM

Oleh M. Saraswathi

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Pada masa ini hampir seluruh golongan dewasa dan ramai golongan muda mungkin telah terbaca mahupun mendengar mengenai “tarif” sama ada menerusi berita, media sosial atau perbualan harian sejak 2 April lepas.

Malahan, "penguin" di Pulau Heard dan McDonald yang berada di tempat yang terpencil seolah-olah turut merasakan tempias daripada gelombang tarif balas yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.  

Walaupun langkah pelaksanaan tarif ini telah ditangguhkan kepada kebanyakan negara melainkan China, impak negatifnya telah dirasai.

Sepanjang minggu ini, pengumuman berkenaan meresahkan pasaran saham global sehinggakan keseluruhan pasaran saham merosot mencecah nilai bertrilion dolar.

Kalangan ahli ekonomi dan penganalisis mula menurunkan unjuran pertumbuhan, bahkan memberi amaran bahawa kemelesetan ekonomi dijangka kian hampir.

Apple dilaporkan bertindak pantas menjadualkan lima penerbangan kecemasan untuk menghantar iPhone dari India dan China ke AS dalam usaha pada saat-saat akhir untuk mengelakkan tarif yang akan dikenakan -- satu tindakan dramatik yang menunjukkan langkah berkos tinggi yang perlu dilaksanakan oleh syarikat besar apabila dasar perdagangan antarabangsa mengalami perubahan mendadak.

Situasi ini bukan sahaja menyulitkan, malah merupakan pergolakan pada skala global.

Malaysia dikenakan tarif timbal balas sebanyak 24 peratus. Walaupun ia telah ditangguhkan, tarif asas tetap sebanyak 10 peratus masih dikenakan kepada semua negara. Purata kadar tarif yang dikenakan oleh Malaysia kepada AS adalah 5.6 peratus.

Kaedah pengiraan yang digunakan oleh pentadbiran Trump dilihat meragukan, dengan pelbagai laporan menyifatkannya sebagai “formula tarif yang tidak munasabah daripada sudut ekonomi, berasaskan ralat dan ketidaksempurnaan” sejak daripada awal.

Pada asasnya, tarif hanyalah cukai yang dikenakan oleh kerajaan ke atas barangan yang diimport dari negara lain.

Ia mempunyai dua tujuan utama iaitu pertama, sebagai sumber pendapatan kerajaan; kedua, selaku alat untuk melindungi industri dan perniagaan domestik.

Fungsi perlindungan ini amat penting terutamanya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang mungkin bergelut untuk bersaing dengan produk asing bernilai rendah atau menerima subsidi besar.

Dengan menjadikan barangan import menjadi lebih mahal, pelaksanaan tarif bertujuan untuk mewujudkan peluang yang adil -- menggalakkan pengguna untuk membeli barangan tempatan dan menyokong pertumbuhan syarikat dalam negara.

Tarif menawarkan pilihan kepada pengguna antara barangan keluaran domestik dan barangan import sebagai alternatif yang diimport.

Bagaimanapun, tindakan yang dilakukan Trump atas faktor “untuk menjadikan AS kembali hebat” boleh dikatakan sebagai perbuatan menekan, sebagaimana yang digambarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai “diplomasi megafon.”

Malaysia tidak memperlihatkan reaksi yang jelas, namun ini tidak bermakna kita tidak mengambil tindakan sewajarnya.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri telah bersiap sedia dengan pengumuman tarif balas ini, dan apabila ia dilaksanakan, menteri berkenaan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan mengambil tindakan yang pantas.

Teknokrat yang menjadi ahli politik ini mempunyai strategi komunikasi yang tersusun dan berkesan.

Beliau membuat penjelasan mengenai krisis ini dalam bahasa yang mudah difahami di media sosial dan pada masa sama berhubung dengan pemimpin perniagaan, membuat penyelarasan dengan pihak berkuasa serta menjawab soalan-soalan sukar daripada wartawan dengan tenang.

Sebagai sebuah negara perdagangan yang terbuka, Malaysia mungkin tidak akan terlepas sepenuhnya daripada kesan krisis ini.

Bagaimanapun, dengan kepimpinan yang berhemat dan tegas, negara boleh mengharungi badai ini dan mengurangkan impak yang mungkin berlaku.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan