EKONOMI > BERITA

BNM, BANK OF THAILAND PERKUKUH KERJASAMA PERTINGKAT DAYA TAHAN SIBER

10/04/2025 12:21 PM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank of Thailand (BOT) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh usaha kerjasama dalam keselamatan siber dan perlindungan penipuan digital.

Dalam kenyataan bersama, BNM dan BOT juga menyifatkan inisiatif dapat menggalakkan hubungan kerjasama lebih erat antara dua bank pusat itu yang membolehkan perkongsian maklumat, bina upaya dan pertukaran amalan terbaik yang lebih berkesan.

MoU itu ditandatangani oleh Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour dan Gabenor BOT Dr Sethaput Suthiwartnarueput.

Dokumen itu juga menegaskan komitmen BNM dan BOT untuk meningkatkan kesiapsiagaan keselamatan siber selain memperkukuh pertahanan siber industri kewangan kedua-dua negara.

Mengulas perkembangan itu, Abdul Rasheed Ghaffour menegaskan BNM terus komited untuk meningkatkan daya tahan institusi kewangan negara dan memantapkan perlindungan pengguna kewangan terhadap ancaman siber semasa dan baharu muncul.

“Usaha dengan Bank of Thailand ini akan memperdalam kerjasama kami berkaitan keselamatan siber dan banteras penipuan digital,” katanya.

Sementara itu, Sethaput berkata MoU itu mencerminkan komitmen BOT untuk bekerjasama dengan BNM bagi memperkukuh keselamatan siber dan memerangi penipuan digital.

“Kerjasama erat dan perkongsian pengetahuan adalah sangat penting untuk menangani ancaman siber yang semakin canggih.

“Melalui usaha sama ini, matlamat kami adalah untuk meningkatkan lagi daya tahan dan keselamatan sistem kewangan demi manfaat pengguna di kedua-dua negara.” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan