EKONOMI > BERITA

PENANGGUHAN 90 HARI TARIF AS BERI SEDIKIT KELEGAAN KEPADA MALAYSIA - ANWAR

10/04/2025 02:23 PM

PUTRAJAYA, 10 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penangguhan selama 90 hari tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas 75 negara, termasuk Malaysia, memberikan sedikit kelegaan buat negara.

“Malaysia terlibat, (tetapi penangguhan ini) melegakan sebentar,” katanya ringkas ketika ditanya pemberita mengenai perkembangan tersebut.

Anwar berkata demikian selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof.

Pada 2 April lepas, Presiden Donald Trump mengumumkan satu siri 'tarif timbal balik' terhadap import dari kira-kira 90 negara yang melebihi cukai menyeluruh sebanyak 10 peratus yang dikenakan ke atas semua import ke AS.

Langkah itu secara langsung menaikkan duti import terhadap beberapa rakan dagang utama Washington termasuk Malaysia yang dikenakan tarif 24 peratus.

Bagaimanapun, Trump hari ini dilaporkan mengumumkan penangguhan kenaikan tarif lebih tinggi tersebut selama 90 hari untuk memberi ruang kepada rundingan perdagangan dengan rakan dagangnya.

Berikutan pengumuman terbaharu tersebut pasaran saham global melonjak naik.

Washington bagaimanapun akan tetap mengekalkan tarif asas 10 peratus di kebanyakan negara selain meningkatkan tarif ke atas import China kepada 125 peratus berkuat-kuasa serta-merta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan