KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat daripada Gabenor Guangxi Lan Tianli dan delegasinya yang mencerminkan hubungan kukuh yang telah lama terjalin antara Malaysia dan China.
Beliau berkata Guangxi merupakan pintu masuk China ke ASEAN dan rakan wilayah penting yang memainkan peranan utama dalam memudahkan perdagangan dan pelaburan dua hala.
“Saya maklumkan bahawa Malaysia menantikan Lawatan Negara Presiden Xi Jinping yang dijadualkan pada 15-17 April ini, justeru kami turut bertukar pandangan antaranya terkait dengan potensi perdagangan dua hala meliputi ASEAN termasuklah pengukuhan kerjasama kecerdasan buatan (AI) dan digital,” kata Anwar menerusi hantaran di laman rasmi X beliau.
Perdana Menteri berkata Malaysia mempunyai sasaran untuk menjadi hab kepimpinan AI serantau dan menjemput perusahaan AI terkemuka China untuk mempertimbang menubuhkan ibu pejabat serantau mereka di sini.
“Selain itu, kami turut menyentuh usaha memajukan Inisiatif "Dua Negara, Taman Berkembar" melibatkan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), yang terus menunjukkan kemajuan positif dengan 19 projek diluluskan bernilai RM25.68 bilion dengan jangkaan mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan,” kata beliau.
Anwar berkata sehingga kini sebanyak RM20.77 bilion telah direalisasikan dengan 7,572 pekerjaan diwujudkan yang menunjukkan manfaat ketara kerjasama Taman Berkembar kepada ekonomi dan tenaga kerja Malaysia.
China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia bagi tahun ke-16 berturut-turut pada 2024 dengan jumlah dagangan mencecah US$106.04 bilion (RM484.12 bilion).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial