Oleh Nor Baizura Basri dan Karina Imran
KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata negara perdagangan perlu menggunakan platform Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) untuk menyelesaikan sebarang isu dan masalah, termasuk tarif.
Anwar, yang juga pengerusi ASEAN bagi 2025, berkata ini adalah pendirian ASEAN yang percaya bahawa usaha mencapai perdagangan bebas harus dilakukan melalui mekanisme seperti badan perdagangan global yang berpangkalan di Geneva itu dan bukannya melibatkan hanya satu pihak sahaja.
"Sekiranya ada pelarasan yang perlu dibuat, kami (ASEAN) sentiasa boleh melakukannya,” kata beliau yang merujuk kepada fakta bahawa isu sukar seperti tarif boleh dibincangkan melalui mekanisme WTO.
“Namun begitu, "kami (ASEAN), berasa kurang senang dan tidak bersetuju dengan keputusan unilateral yang dibuat oleh Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan tarif.
“Negara-negara tidak seharusnya berpegang kepada amalan mengeluarkan kenyataan keras," kata Perdana Menteri yang jelas merujuk kepada AS.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita pada Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12, di sini, hari ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata penyelesaian lebih berkesan perlu dilakukan secara bersama-sama di platform tunggal ASEAN untuk meyakinkan AS yang merupakan kuasa besar ekonomi.
"Sekarang ini kita mendapat penangguhan sementara selama 90 hari. Jadi, apa yang perlu kita lakukan adalah untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan serta kerjasama dalam sektor digital dan tenaga.
"Kita perlu menarik perhatian semua negara termasuk AS agar menghormati sistem berasaskan peraturan," kata beliau.
Sementara itu, semasa menyampaikan ucapan penutup di AFMGM, Anwar menekankan kepentingan bagi negara anggota ASEAN untuk memastikan asas ekonomi mereka kekal kukuh walaupun dikenakan tarif tinggi oleh AS.
“Pada masa sama, pendirian kita di ASEAN adalah untuk memastikan hubungan kita, khususnya dengan China, selain Jepun, Korea Selatan, negara jiran, kekal utuh. Mengapa (kita perlu berbuat demikian)? Kerana kita melindungi ekonomi kita sendiri, ekonomi domestik.
"Pemahaman mengenai makroekonomi, keadaan kewangan, mata wang, digabungkan dengan gabenor dan menteri kewangan, ia adalah puncak, tonggak di mana-mana negara. Dengan kekuatan anda, anda boleh membawa pengaruh yang besar," kata beliau.
Sementara itu, Perdana Menteri turut menyentuh sedikit mengenai satu daripada Penyampaian Ekonomi Utama (PED) yang dikemukakan pada mesyuarat edisi ke-12, iaitu ketersambungan digital yang merupakan sebahagian daripada ekonomi digital.
Dua PED lain yang turut dikemukakan adalah pembiayaan mampan dan pembangunan inklusif.
"Dan saya fikir kita (ASEAN) harus membuat perincian (penglibatan) dari segi ketersambungan digital, peralihan tenaga, perdagangan rentas sempadan serta (untuk memudahkan) kastam (proses), menggunakan kapasiti sektor perindustrian yang mana tiada gunanya ekonomi kita yang lebih kecil bersaing dan meremehkan antara satu sama lain,” kata Anwar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial