EKONOMI > BERITA

ASEAN BELUM PUTUSKAN TARIKH MESYUARAT KHAS PEMIMPIN BINCANG TARIF AS

10/04/2025 08:00 PM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Malaysia, sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, dalam usaha menetapkan tarikh Mesyuarat Khas Pemimpin untuk membincangkan hala tuju blok tersebut dalam menangani dan mengurangkan potensi gangguan terhadap perdagangan serantau disebabkan tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan media mengenai Mesyuarat Khas Pemimpin ASEAN, yang diumumkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, yang mempengerusikan mesyuarat khas Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) secara maya awal hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menutup Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.

Menjawab soalan lain sama ada ASEAN akan membuat aduan kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengenai keputusan AS untuk mengenakan tarif unilateral ke atas 168 negara, yang turut merangkumi 10 negara anggota ASEAN, Anwar berkata: “Kami sedang membincangkannya.”

Anwar yang dijangka mempengerusikan Mesyuarat Khas Pemimpin itu, sebelum ini berkata negara perlu menggunakan platform WTO untuk menyelesaikan isu dan masalah perdagangan, termasuk tarif.

Kekecohan mengenai tarif tercetus selepas Presiden AS Donald Trump mengumumkan kadar tarif baharu pada 2 April tetapi kini ditangguhkan selama 90 hari.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan