Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Bursa Malaysia meningkat semula dengan ketara untuk ditutup tinggi pada Khamis sementara indeks penanda aras melonjak 4.47 peratus, dalam keadaan sentimen pasaran yang bertambah baik di seluruh rantau susulan pengumuman penangguhan sementara tarif Amerika Syarikat (AS).
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 62.54 mata kepada 1,463.13 daripada 1,400.59 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 63.71 mata lebih tinggi kepada 1,464.30 namun, turun serendah 1,453.13 selepas 15 minit dagangan.
Indeks itu kemudiannya meneruskan aliran naik kepada paras tertinggi 1,473.36 pada pertengahan pagi dan mengekalkan momentum positifnya sehingga dagangan ditutup.
Lingkungan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 1,075 berbanding 183, manakala 261 kaunter tidak berubah, 847 kaunter tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 4.41 bilion unit bernilai RM3.81 bilion daripada 3.77 bilion unit bernilai RM3.79 bilion semalam.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata peningkatan semula FBM KLCI adalah menyeluruh merentas semua komponen indeks, mencerminkan sentimen pelabur yang bertambah baik susulan kenaikan kukuh di Wall Street dalam tempoh semalaman.
“Pemangkin di sebalik keyakinan baharu itu adalah keputusan Presiden AS Donald Trump untuk menangguhkan sementara pelaksanaan tarif balas yang lebih tinggi, sekali gus melegakan pasaran global buat seketika.
“Bagaimanapun, tarif 10 peratus sedia ada kekal berkuat kuasa dan terus menimbulkan risiko negatif bagi kestabilan pasaran," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata tumpuan pelabur akan beralih kepada data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS dan tuntutan pengangguran mingguan yang akan dikeluarkan lewat malam ini.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menasihatkan pelabur supaya sentiasa berwaspada, memandangkan keadaan tarif yang berubah-ubah dan ketidaktentuan yang menyelubungi dasar perdagangan Trump.
“Kami menjangkakan indeks penanda aras berada dalam aliran berjulat 1,419 hingga 1,480 menjelang hujung minggu,” katanya.
Antara kaunter berwajaran tinggi, Maybank melonjak 49 sen kepada RM9.99, Public Bank naik 16 sen kepada RM4.25, Tenaga Nasional meningkat 48 sen kepada RM13.30, CIMB menokok 56 sen kepada RM6.91, dan IHH Healthcare menambah sembilan sen kepada RM6.80.
Bagi kaunter aktif, MYEG menokok lapan sen kepada 83.5 sen, Top Glove menambah sembilan sen kepada 91 sen, Inari Amertron naik 27 sen kepada RM1.72, Supermax menambah 4.5 sen kepada 85 sen, dan SumiSaujana menokok satu sen kepada 19 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 498.63 mata kepada 10,842.41, Indeks FBMT 100 menokok 491.96 mata kepada 10,640.80, manakala Indeks FBM Emas Shariah meningkat 466.13 mata kepada 10,568.82.
Indeks FBM 70 melonjak 852.76 mata kepada 15,235.13 dan Indeks FBM ACE naik 223.47 mata kepada 4,369.73.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 859.39 mata kepada 17,764.21, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 26.76 mata kepada 138.80, Indeks Tenaga menokok 47.35 mata kepada 659.94, dan Indeks Perladangan meningkat 206.80 mata kepada 7,045.89.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.55 bilion unit bernilai RM3.52 bilion daripada 2.28 bilion unit bernilai RM3.56 bilion semalam.
Jumlah dagangan waran naik kepada 1.35 bilion unit bernilai RM134.97 juta daripada 995.82 juta unit bernilai RM87.78 juta para Rabu.
Jumlah dagangan Pasaran ACE turut meningkat kepada 494.69 juta unit bernilai RM155.19 juta daripada 491.66 juta unit bernilai RM138.32 juta sebelumnya.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 262.53 juta saham didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (443.75 juta), pembinaan (188.51 juta), teknologi (497.64 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (178.11 juta), hartanah (203.74 juta), perladangan (35.61 juta), REIT (20.71 juta), dana tertutup (26,600), tenaga (292.69 juta), penjagaan kesihatan (271.33 juta), telekomunikasi dan media (28.71 juta), pengangkutan dan logistik (56.78 juta), utiliti (74.09 juta), dan amanah perniagaan (68,300).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial