PETALING JAYA, 11 April (Bernama) -- Fibromat (M) Bhd, yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia menyasarkan untuk mengumpul RM17.8 juta daripada tawaran awam permulaannya (IPO).
Menurut syarikat penyelesaian geoteknikal dan kejuruteraan pakar itu dalam prospektusnya, harga IPO ialah 55 sen sesaham dengan penyenaraian dijadualkan pada 8 Mei, 2025.
Kumpulan berkenaan merancang untuk menggunakan RM7.6 juta, atau 42.6 peratus, daripada hasil IPOnya untuk membeli mesin; RM6.7 juta (37.8 peratus) untuk modal kerja dan RM3.5 juta (19.6 peratus) untuk perbelanjaan penyenaraian.
Pengarah Eksekutif Ng Chun Hou berkata pembelian baharu itu merangkumi dua set mesin "blanket kawalan hakisan" bersama "pengumpul debu" mesra alam yang akan dipasang di kilang Rasa di Selangor. Ia juga akan memperoleh lima unit jengkaut hidraulik.
"Pembelian ini adalah sebahagian daripada usaha hiliran untuk meningkatkan margin keuntungan dan hasil pendapatan," katanya pada sidang media selepas melancarkan prospektus syarikat itu hari ini.
Ng juga berkata Fibromat sedang membida beberapa pakej kerja dalam projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B bernilai RM15.7 bilion dan projek Jalan Penghubung Sarawak-Sabah bernilai RM7.4 bilion di Malaysia Timur.
Ia turut membida beberapa pakej dalam kerja-kerja penyelenggaraan jalan dan infrastruktur negeri bernilai RM5.4 bilion di bawah Belanjawan 2024.
"Kami berada dalam kedudukan strategik untuk memberi perkhidmatan kepada lebih ramai pelanggan dengan meningkatkan kapasiti pengeluaran di kilang baharu kami dan menubuhkan pasukan pemasangan prefabrikasi saliran menegak (PVD) kami," katanya.
Fibromat telah disenaraikan di Pasaran LEAP pada 30 Mei, 2019. Anak syarikatnya menyediakan penyelesaian geoteknikal dan menjalankan perdagangan dalam geosintetik serta produk-produk kawalan hakisan.
Berdasarkan modal saham syarikat yang diperbesarkan sebanyak 248.3 juta saham biasa, Fibromat dijangka memiliki permodalan pasaran sebanyak RM136.6 juta.
IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 32.3 juta saham baharu yang mewakili 13.0 peratus daripada modal saham yang diterbitkan serta diperbesarkan dan tawaran untuk jualan sebanyak 24.8 juta saham sedia ada atau 10 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan.
Terbitan awam pula terdiri daripada 12.4 juta saham baharu untuk orang awam Malaysia, 6.2 juta saham untuk pihak yang layak dan 13.7 juta saham yang akan diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur-pelabur bumiputera yang dikenal pasti dan diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Tawaran untuk jualan melibatkan 17.4 juta dan 7.4 juta saham sedia ada yang akan diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur-pelabur bumiputera yang diluluskan oleh MITI dan pelabur-pelabur terpilih, menurut satu kenyataan.
Permohonan untuk terbitan awam dibuka mulai hari ini dan akan ditutup pada 5 petang, 25 April, 2025.
M & A Securities Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan bagi IPO itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial