EKONOMI > BERITA

PENAMPILAN SULUNG SUMISAUJANA DI PASARAN ACE BERMULA LEMAH SUSULAN KONFLIK TARIF

09/04/2025 01:21 PM

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- SumiSaujana Group Bhd (SumiSaujana) membuat penampilan sulung yang hambar di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini, di tengah-tengah ketidaktentuan berterusan pasaran global susulan konflik tarif yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS).

Pengilang bahan kimia khusus untuk minyak dan gas itu dibuka pada 18 sen iaitu 25 peratus lebih rendah daripada harga tawaran awam permulaannya (IPO) sebanyak 24 sen sesaham. 

Walaupun prestasi yang lemah, Timbalan Pengerusi Eksekutif SumiSaujana Toh Chee Seng mempertahankan masa penyenaraian itu dan menyatakan bahawa keadaan pasaran amat sukar dijangka.

“Mengikut sejarah, data menunjukkan tiada siapa yang dapat meramalkan keadaan pasaran. 

“Oleh itu, tiada masa yang baik atau buruk untuk menyenaraikan syarikat,” katanya dalam sidang media maya bersempena penyenaraian tersebut.

Beliau berkata walaupun mengalami penyusutan, SumiSaujana yakin dengan strategi perniagaannya dan memberi tumpuan untuk meneruskan rancangannya bagi pertumbuhan dan pengembangan.

“Dengan pelaksanaan IPO ini, kami akan menyusun semula operasi, menambah baik pengurusan logistik dengan memperoleh pejabat korporat baharu dan kemudahan gudang, yang akan memberi penjimatan ketara kepada keuntungan kami dan diharapkan mencipta nilai jangka panjang kepada pemegang kepentingan serta pelanggan kami,” katanya.

SumiSaujana berjaya memperoleh kira-kira RM74.4 juta daripada terbitan awam 310 juta saham baharu.

Syarikat itu memperuntukkan 54 peratus daripada hasil untuk memperoleh gudang dan pejabat korporat baharu di Puncak Alam, manakala 25.4 peratus akan digunakan untuk memperoleh kilang sedia ada, juga terletak di Puncak Alam.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif SumiSaujana Norazlam Norbi berkata syarikat tersebut kekal yakin dengan pertumbuhan jangka panjang industri minyak dan gas.

“Tahun ke tahun, terdapat pertumbuhan yang konsisten antara 1 hingga 3 peratus dalam penggunaan hidrokarbon, sama ada sebagai tenaga atau petrokimia dan hasilnya, kita menjangkakan pertumbuhan yang stabil dalam pasaran bahan kimia khususnya lapangan minyak,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan