KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Selama hampir dua dekad mengangkat busur dan panah mewakili negara, atlet memanah compound Fatin Nurfatehah Mat Salleh menyimpan satu impian yang sering dirasakan mustahil iaitu untuk membuat penampilan di pentas Sukan Olimpik.
Hari ini, impian yang sekian lama terpendam itu akhirnya kembali menyala selepas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) baru-baru ini memasukkan acara memanah compound berpasukan campuran dalam senarai pingat dipertandingkan di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Fatin Nurfatehah menyifatkan pengumuman IOC itu sebagai satu titik perubahan besar dalam hidupnya, baik sebagai atlet mahupun sebagai insan yang tidak pernah berhenti berharap.
“Gembira, teruja dan terkejut sebabnya dimasukkan pada saat akhir… memang berita yang sangat gembira terutama bagi komuniti compound. Pengumuman ini memberi satu nafas baharu sebab sebagai seorang atlet memang kita bercita-cita untuk menjadi Olimpian.
“Sebelum ini tak dapat nak bermimpi sebab tak ada (compound tidak dipertandingkan), jadi sekarang harapan saya adalah untuk layak dan sumbang pingat untuk negara,” kata atlet kelahiran Kota Kinabalu, Sabah berusia 33 tahun itu kepada Bernama di sini hari ini.
Sebelum ini, impian untuk melangkah ke Sukan Olimpik tidak pernah wujud dalam kamus hidup Fatin Nurfatehah yang gigih berlatih siang dan malam serta mengharungi ratusan pertandingan, memandangkan acara memanah compound tidak dipertandingkan di temasya sukan paling berprestij itu.
Malah, setiap kali ditanya mengenai peluang ke Sukan Olimpik, beliau hanya mampu menjelaskan bahawa dirinya tidak dapat menyertai kerana acara compound tidak dipertandingkan.
“Selepas ini apabila orang bertanya pergi Olimpik ke tidak, saya akhirnya boleh mengatakan saya akan cuba sedaya upaya untuk melayakkan diri dan membuat persiapan menghadapinya,” katanya yang telah membuktikan kehebatan menerusi pencapaian di kejohanan dan temasya sukan antarabangsa seperti Piala Dunia dan Sukan SEA.
Biarpun teruja dengan peluang yang kini terbuka, Fatin Nurfatehah yang merupakan atlet sepenuh masa di bawah Program Podium sedar laluannya ke LA28 tidak akan mudah.
Dengan lebih kurang tiga tahun untuk mempersiapkan diri, beliau mengakui masih banyak yang perlu difahami mengenai sistem kelayakan dan format pertandingan yang masih belum dimuktamadkan.
“Tidak mudah sebab kita pun tak tahu cara kelayakan macam mana sekarang, cuma apa boleh saya kata sekarang persiapan sudah boleh bermula, sudah boleh ada program. Kita ada lebih kurang tiga tahun saja untuk betul-betul buat persiapan menghadapi LA28,” tambah beliau.
Fatin Nurfatehah bersama gandingannya Alang Arif Aqil Muhammad Ghazalli mencipta pencapaian membanggakan pada Februari lepas apabila memenangi pingat emas acara berpasukan campuran pada Piala Asia 2025 di Bangkok.
Khamis lepas IOC mengumumkan untuk memasukkan acara memanah compound berpasukan campuran dalam senarai pingat dipertandingkan di LA28.
Kontinjen Malaysia sentiasa mempunyai pemanah yang layak secara merit untuk acara recurve bagi beberapa temasya Sukan Olimpik sebelum ini termasuklah tiga pemanah ketika Sukan Olimpik Paris 2024.
Berikut merupakan biodata Fatin Nurfatehah:
Nama penuh: Fatin Nurfatehah Binti Mat Salleh
Tarikh lahir: 4 Jun 1991
Tempat lahir: Kota Kinabalu, Sabah
Makanan kegemaran: laksa dan makanan Thai
Atlet/idola sukan: Erika Jones (memanah)
Pencapaian terkini: Pingat emas - berpasukan campuran, Asia Cup 2025, Bangkok (berpasangan dengan Alang Arif Aqil Muhammad Ghazalli)
Kejayaan tertinggi: Pingat emas - acara berpasukan World Cup 2015, Shanghai
Pingat gangsa - acara berpasukan, World Cup 2023, Antalya, Turkiye (berpasangan dengan Mohd Juwaidi Mazuki)
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial