KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- MIDF Amanah Investment Bank Bhd mengekalkan unjuran pertumbuhan jualan runcit kepada 4.6 peratus pada 2025, menyusut daripada 5.5 peratus yang dicatatkan pada 2024.
Cabang penyelidikannya, MIDF Research berkata pertumbuhan yang berterusan itu akan disokong oleh pasaran buruh yang kukuh, inflasi yang terurus, dasar monetari yang akomodatif dan pemulihan yang berterusan dalam sektor pelancongan.
“Langkah-langkah kerajaan termasuk program bantuan tunai, akses kepada simpanan persaraan yang fleksibel, kenaikan gaji perkhidmatan awam dan kenaikan gaji minimum, dijangka terus meningkatkan lagi perbelanjaan pengguna tahun ini,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Bagaimanapun, MIDF Research berkata ia tetap berwaspada terhadap risiko penurunan, terutamanya apabila ketegangan perdagangan global yang semakin memuncak boleh menjejaskan keyakinan pengguna dan memberi kesan kepada keputusan untuk berbelanja.
“Walaupun berdepan ketidaktentuan luaran ini, kami percaya penggunaan domestik akan kekal menjadi tonggak utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2025,” katanya.
MIDF Research berkata perbelanjaan runcit mengalami pertumbuhan yang perlahan, namun kenaikan dalam perdagangan borong telah menyumbang kepada perdagangan pengedaran yang lebih kukuh.
Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini mengumumkan perdagangan runcit Malaysia mencatatkan pertumbuhan jualan sebanyak 5.9 peratus tahun ke tahun pada Februari 2025 berbanding 8.2 peratus tahun ke tahun pada Januari 2025.
Bagaimanapun, MIDF Research berkata pertumbuhan perdagangan pengedaran telah meningkat kepada 5.1 peratus tahun ke tahun pada Februari 2025 berbanding 4.6 peratus tahun ke tahun pada Januari 2025, didorong oleh peningkatan yang lebih kukuh dalam perdagangan borong (5.3 peratus tahun ke tahun pada Februari berbanding 4.8 peratus tahun ke tahun pada bulan sebelumnya) serta pemulihan dalam jualan kenderaan bermotor.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial