KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Malaysia Semiconductor IC Design Park membentuk kerjasama strategik dengan ChipInventor dari Brazil dan Amazon Web Services (AWS) menerusi sokongan Kedutaan Brazil di Malaysia melalui Program Diplomasi Inovasi, serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Brazil.
Malaysia Semiconductor IC Design Park yang berpangkalan di Selangor itu menjelaskan perkongsian strategik antara Malaysia dan Brazil tersebut bertujuan mengukuhkan hubungan dalam reka bentuk dan pembuatan litar bersepadu (IC).
Inisiatif itu turut bertujuan memanfaatkan ekosistem semikonduktor dinamik Malaysia dan kepakaran mendalam Brazil dalam reka bentuk IC.
"Inisiatif itu dijangka memupuk pelaburan bersama, membolehkan pemindahan teknologi, dan meletakkan Malaysia sebagai hab serantau untuk kecemerlangan semikonduktor,” tambahnya dalam kenyataan hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han berkata ChipInventor telah memilih Malaysia Semiconductor IC Design Park sebagai pangkalannya untuk pengembangan ke Asia.
“Hal itu mencerminkan keyakinan kalangan syarikat antarabangsa terhadap infrastruktur, kumpulan bakat dan lokasi strategik kita dalam ASEAN,” katanya semasa berucap pada Program Pembangunan Industri Semikonduktor Dua Hala Brazil x Malaysia yang diadakan pada Khamis.
Beliau berkata ChipInventor, syarikat berasingan daripada Wernher von Braun Center for Advanced Research berprestij di Brazil, menawarkan instrumen revolusioner yang akan menjadikan reka bentuk cip boleh diakses oleh semua pihak.
“Platform reka bentuk semikonduktor berasaskan awan mereka, dijana AI dan disokong oleh AWS Cloud Malaysia, membolehkan individu atau pihak yang tidak mempunyai kemahiran kejuruteraan khusus, mereka bentuk cip mereka sendiri menggunakan alat mudah tanpa kod,” katanya.
Dalam pada itu, syarikat pemula niaga teknologi Malaysia, Alphaswift Industries mempamerkan potensi inovasi tempatan sekali gus muncul pemenang utama Program Pemecut Selangor (SAP) ketujuh anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangoir (Sidec).
Syarikat itu berjaya mereka bentuk dan membuat prototaip cip silikon menggunakan platform automasi reka bentuk elektronik (EDA) berasaskan awan ChipInventor.
Menurut kenyataan itu, cip itu kini sedia untuk fabrikasi di Silterra, faundri terkemuka Malaysia, sekali gus membuktikan keupayaan syarikat pemula niaga Malaysia yang semakin meningkat dalam landskap semikonduktor global.
Malaysia Semiconductor IC Design Park menjelaskan untuk membangunkan lagi bakat tempatan, Akademi Lanjutan Semikonduktor Malaysia (ASEM) sedang bekerjasama dengan ChipInventor untuk melaksanakan latihan relevan dengan industri melalui program seperti Program Kecemerlangan Semikonduktor Kebangsaan (NSEP) dan Program Pertukaran Semikonduktor Global (GSEP).
Inisiatif ini bertujuan melengkapkan pelajar dan profesional Malaysia dengan kemahiran penting dalam reka bentuk cip, pengujian dan pengesahan yang menyokong aspirasi negara untuk meneraju pembuatan dan inovasi berteknologi tinggi.
Platform ChipInventor dihoskan pada infrastruktur canggih AWS di Malaysia, membolehkan aliran kerja reka bentuk cip yang terjamin, berskala dan berprestasi tinggi.
Perkongsian itu bukan sahaja meningkatkan ekosistem digital Malaysia malah juga menggalakkan penggunaan alat reka bentuk semikonduktor berasaskan awan global.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial