EKONOMI > BERITA

MALAYSIA DISARAN MANFAATKAN EKONOMI BERASAS BIO DI SEKTOR MINYAK SAWIT BAGI KEMAMPANAN GLOBAL

12/04/2025 02:55 PM

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Malaysia perlu segera memberikan keutamaan kepada kemampanan industri dengan memanfaatkan ekonomi berasaskan bio untuk kekal berdaya saing dan mampan di pasaran global terutamanya dalam sektor minyak sawit, menurut pakar.

Pengasas Institut Penyelidikan bagi Kecemerlangan dan Kepimpinan Mampan (RISEL) Hong Wai Onn menekankan keperluan untuk sektor minyak sawit menjangkau amalan tradisional berasaskan komoditi.

“Sektor minyak sawit Malaysia perlu berkembang. Kita perlu menilai semula penciptaan nilai dengan meningkatkan nilai biojisim, pemulihan metana dan model perniagaan kitaran yang memberikan manfaat kepada alam sekitar dan ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hong turut menekankan contoh praktikal yang telah diuji dan dikomersialkan seperti menukar tandan kosong kepada biobahan api dan biokimia serta pemerangkapan metana daripada efluen kilang minyak sawit bagi teknologi tenaga boleh baharu.

“Inovasi ini mengurangkan pelepasan di samping mencipta hasil baharu yang boleh menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi karbon rendah,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan persepsi bahawa ekonomi kitaran sekadar istilah yang sering digunakan, sebaliknya menekankan bahawa ia adalah strategi perniagaan yang kuat.

"Pemikiran kitaran -- yang dihasilkan untuk guna semula, mengurangkan sisa dan kerjasama merentas sektor -- membolehkan industri berkembang secara mampan dan menguntungkan," katanya.

Mengenai masa depan kemahiran dan kepimpinan, Hong berkata terdapat permintaan yang semakin meningkat terhadap profesional berkemahiran teknikal yang boleh memacu inovasi hijau.

Daripada pemerangkapan karbon kepada bioteknologi, beliau berkata industri memerlukan pemimpin yang berfikir mengikut sistem, melaksanakan pembelajaran sepanjang hayat dan berani untuk mencabar status quo atau keadaan sedia ada.

“Melangkah ke hadapan, bioteknologi dan simbiosis perindustrian akan menjadi gangguan ekonomi terbesar yang seterusnya.

“Masa depan adalah berlandaskan penggantian bahan mentah berasaskan fosil dengan alternatif berasaskan bio dan mengubah sisa industri menjadi sumber yang bernilai iaitu ekonomi janaan semula yang dihasilkan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan