KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Kementerian Ekonomi dalam proses akhir untuk memuktamadkan Pelan Hala Tuju Gas Negara yang akan dilancarkan tahun ini, kata menterinya Datuk Seri Rafizi Ramli.
Beliau berkata pelan itu bertujuan merancakkan rantaian nilai gas domestik, memandangkan Malaysia perlu mengimport lebih banyak gas asli cecair (LNG) kerana pengeluaran gas bagi kegunaan pasaran Semenanjung Malaysia semakin berkurangan.
“Apabila lebih banyak syarikat menceburi perdagangan gas dan mengimport LNG untuk dibekalkan, kedudukan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan negara adalah lebih baik dari beberapa sudut,” katanya menerusi catatan di laman X rasminya hari ini.
Beliau berkata pertama, Petronas dapat menjana pendapatan tambahan memandangkan syarikat pengimport perlu membayar yuran akses untuk menggunakan infrastruktur gas milik Petronas.
“Kedua, risiko Petronas berdepan kerugian kerana memikul beban sebagai satu-satunya pengimport LNG juga berkurangan. Ketiga, bekalan gas lebih terjamin kerana industri gas yang lebih banyak pemain. Keempat, kita boleh menarik pelaburan baharu ke dalam industri gas hiliran,” katanya.
Rafizi berkata mana-mana syarikat kini boleh mengimport LNG untuk dipasarkan, yang menggunakan infrastruktur regasifikasi dan rangkaian paip gas yang dimiliki Petronas.
Infrastruktur regasifikasi dan paip gas memang dimiliki Petronas namun, Malaysia mempunyai kerangka akses kepada pemain industri melalui akses pihak ketiga justeru, mana-mana syarikat boleh mengimport LNG dan dijual ke pasaran, katanya.
“Masalahnya, syarikat lain tidak berminat. Hampir keseluruhan pengimportan LNG ke pasaran domestik dibuat oleh Petronas.
“Perkara ini menimbulkan beban kepada Petronas kerana kebergantungan negara kepada Petronas semata-mata. Sekiranya harga yang diimport Petronas itu lebih tinggi daripada harga yang dijual kepada pasaran, Petronas terpaksa menanggung kerugian,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial