EKONOMI > BERITA

LAWATAN PRESIDEN XI PAPAR KOMITMEN CHINA PERKUKUH HUBUNGAN DENGAN MALAYSIA, ASEAN

15/04/2025 02:06 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia memaparkan komitmen Beijing dalam mengukuhkan lagi hubungan dengan ASEAN, melonjakkan kerjasama serantau selain meningkatkan hubungan dua hala negara itu dengan Putrajaya.

Xi dijadual tiba di Malaysia pada petang ini bagi memulakan lawatan tiga hari berkenaan.

MIDF Amanah Investment Bhd berkata kehadiran Xi dijangka meningkatkan inisiatif utama seperti projek Jalur dan Laluan (BRI) di negara ini, termasuk Laluan Rel Pantai Timur dan meningkatkan kesalinghubungan serta integrasi ekonomi kedua-dua negara.

“Kami melihat lawatan Presiden Xi sebagai pemangkin, sekali gus mengukuhkan keyakinan dalam penglibatan dua hala yang bertepatan dengan prospek sektor pembinaan Malaysia," kata bank pelaburan itu dalam kenyataannya hari ini.

MIDF juga menjangkakan aspek infrastruktur kekal sebagai asas BRI dan Malaysia bersedia untuk meraih manfaat ketara daripada pelaburan China dalam sektor seperti rel, pelabuhan dan infrastruktur pengangkutan.

Hubungan Malaysia-China yang dipertingkatkan juga mampu membuka peluang besar bagi aspek pembangunan pusat data di Malaysia, terutama apabila syarikat gergasi teknologi China bertindak mengembangkan jejak digital di peringkat antarabangsa.

Xi juga, kata MIDF, dijangka menangani kebimbangan berkaitan impak tarif perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China terhadap ekonomi Malaysia selain meninjau pendekaatan mengukuhkan hubungan ekonomi melibatkan kedua-dua negara.

“Tarif AS ke atas Malaysia mungkin menjejaskan pembangunan hartanah perindustrian di Malaysia pada masa depan susulan prospek ekonomi yang kurang memberangsangkan.

“Sehubungan itu, hubungan lebih kukuh dengan China, mungkin dapat meningkatkan pelaburan syarikat Beijing di sini yang dapat mengimbangi sebahagian impak buruk tarif ke atas pasaran hartanah perindustrian di Malaysia,” katanya.

Hubungan perdagangan Malaysia dan China dirangka terutamanya di bawah Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) -- perjanjian pelbagai hala yang berkuat kuasa pada Julai 2005. 

Walaupun Malaysia tidak mempunyai perjanjian perdagangan bebas (FTA) dua hala secara langsung dengan China, ACFTA turut merangkumi pengurangan dan penghapusan tarif yang merentasi spektrum barangan secara meluas.

Pada masa ini, ASEAN dan China juga terlibat dalam rundingan aktif bagi menaik taraf ACFTA kepada versi 3.0 bagi menangani halangan bukan tarif, meningkatkan akses pasaran dan memperluas kerjasama dalam sektor baharu muncul seperti ekonomi digital dan pembangunan hijau.

Ini juga bertepatan dengan kedudukan Malaysia dan China selaku penandatangan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Perjanjian perdagangan mega serantau yang turut disertai kesemua 10 negara anggota ASEAN bersama China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand, hanya melengkapkan lagi ACFTA menerusi usaha penyepaduan ekonomi lebih mendalam di rantau Asia Pasifik.

Usaha itu bersandarkan rangka kerja komprehensif meliputi perdagangan barangan, perkhidmatan, harta intelek dan penyelesaian pertikaian.

Bagi kemajuan masa depan, MIDF berkata prospek segmen hartanah perindustrian dijangka terus stabil selain mengekalkan pertumbuhan amanah pelaburan hartanah susulan kekukuhan hubungan dengan China.

Pada masa sama, ini berpotensi meningkatkan pelaburan syarikat China di Malaysia bagi membuka kilang di Malaysia dan sekali gus dapat mengurangkan kesan tarif oleh AS.

Kerjasama lebih kukuh antara Malaysia dan China akan membolehkan perkongsian pengetahuan dan pemindahan teknologi, terutama untuk industri utiliti atau tenaga.

Sektor lain yang berpotensi mendapat manfaat daripada kekukuhan hubungan China-Malaysia adalah yang berkaitan dengan pelancongan dan teknologi, kata MIDF. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan