AM > BERITA

Lebaran Penuh Makna: Tirai Besi Tidak Halang Kasih Seorang Bapa

16/04/2025 10:02 AM

Oleh Razif Rosli

BATU GAJAH, 16 April (Bernama) -- Tiada yang lebih menggembirakan seorang bapa yang juga seorang tahanan darpada peluang memeluk lima anaknya setelah lebih setahun terpisah kerana menjalani hukuman di Pusat Koreksional Batu Gajah, di sini. 

Penzahiran penuh emosi dan sebak itu dilalui Kamarul (bukan nama sebenar), 35, selepas terpilih bersama beberapa prospek lain bertemu keluarga menerusi program Outreach Korektif Aidilfitri pusat itu sempena sambutan Aidilfitri.

Tidak mengetahui tentang kehadiran kesemua anaknya yang kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kamarul terus berlari menyambut pelukan mereka sejuru melihat kelibat kesemua anaknya itu.

Menurut Kamarul, pertemuan itu sangat menginsafkan dirinya apatah lagi melihat kesanggupan pusat koreksional membuat permohonan kepada JKM demi membawa kesemua anaknya datang beraya bersama.

“Perasaan sedih dan gembira kerana buat kali pertama dapat memeluk anak-anak saya sejak setahun lima bulan saya dimasukkan ke sini malah saya dimaklumkan mereka (anak-anak) teruja nak datang melawat saya. 

"Saya sudah lama menanti untuk bertemu anak-anak dan memeluk mereka untuk melepaskan rindu, hanya tuhan sahaja yang tahu betapa rindunya hati ini terkenangkan mereka," katanya ketika ditemui Bernama di sini, semalam. 

Turut hadir Pengarah Pusat Koreksional Batu Gajah, Penolong Komisioner Penjara S Tanabal. 

Kamarul yang mempunyai tiga anak lelaki dan dua perempuan berusia tiga hingga 13 tahun menjalani hukuman tiga tahun atas kesalahan pengabaian kanak-kanak sebelum ini.

Dia yang diberikan peluang berjumpa anak-anaknya dan menikmati juadah hari raya selain dapat melepaskan kerinduan dalam program lebih satu jam itu turut berterima kasih kepada JKM kerana menjaga mereka sepanjang tempoh tahanannya. 

"Saya akui menjalani kehidupan di tirai besi memberi impak amat besar dan selepas keluar dari sini apa yang penting saya nak besarkan mereka (anak-anak) sebaik mungkin,” katanya.

Bagi Intan (bukan nama sebenar), 23, yang menjalani hukuman atas kesalahan mengedar dadah, dia sangat merindui suasana berhari raya bersama keluarga di kampung.

"Saya sangat beruntung kerana terpilih dalam program ini dan dapat berjumpa dengan keluarga termasuk ayah dan ibu, jadi sedikit sebanyak hilang kerinduan. 

"Saya berazam tidak mengulangi kesilapan lalu apabila dibebaskan kelak dan berharap  keluarga dapat menerima saya apabila keluar nanti kerana itulah yang paling saya mahukan," katanya. 

Intan merupakan antara beberapa prospek yang berjaya menghafal dua juzuk al-Quran setakat ini melalui program pemulihan dilaksanakan di pusat itu selain menyatakan hasrat untuk menyambung pelajaran dalam bidang automotif. 

Sementara itu, Tanabal dalam ucapannya berkata bekas prospek perlu diterima tanpa stigma negatif yang menyebabkan mereka menjadi golongan terpinggir sebaik dibebaskan dari penjara.

"Saya tekankan bahawa mereka (prospek) ini sangat memerlukan sokongan terutamanya daripada keluarga mereka sendiri, itu paling penting kerana kami di sini hanya menjalankan proses pemulihan dan selebihnya adalah sokongan keluarga.

"Segelintir bekas prospek cenderung kembali melakukan jenayah termasuk penagihan dadah kerana golongan itu sahaja yang mahu menerima semula tatkala dipinggirkan keluarga sendiri," katanya.

Beliau berkata program itu turut menjadi sejarah buat Pusat Koreksional Batu Gajah yang mengaturkan pertemuan untuk keluarga Kamarul. 

"Apabila pihak kami mendapat perkhabaran tentang Kamarul, kita ambil inisiatif mencari keberadaan anak-anaknya yang berada dalam jagaan JKM, kita buat permohonan agar dapat bawa anak-anak itu melawat ayah mereka sempena Syawal.

"Kita yakin dengan komunikasi yang betul, program pemulihan yang dilaksanakan di sini, prospek dapat berubah ke arah lebih baik malah paling penting seperti saya sebutkan, sokongan keluarga," katanya. 

-- BERNAMA 


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan