EKONOMI > BERITA

AMAN SETERRA SANCTUARY BAKAL JADI PERKAMPUNGAN PERSARAAN BERKONSEPKAN ISLAM PERTAMA DI DUNIA

17/04/2025 02:45 PM

ALOR SETAR, 17 April (Bernama) -- Aman Seterra Sanctuary yang bakal dibina di Kuala Temoyong, Langkawi tahun depan bakal menjadi Perkampungan Persaraan Antarabangsa berkonsepkan Islam yang pertama di dunia.

Projek itu yang bakal menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama untuk bersara merupakan hasil kerjasama antara Bina Darulaman Berhad (BDB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Aman Lagenda Sdn Bhd bersama Seterra Holdings Sdn Bhd.

Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB Raja Shahreen Raja Othman berkata Aman Seterra Sanctuary yang dibangunkan di kawasan seluas 12.42 ekar itu akan menyediakan perkhidmatan kepada pesara dan warga emas dari seluruh dunia dengan mengintegrasikan konsep kediaman bebas, bantuan penjagaan dan penjagaan jangka panjang.

“Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, negara telah melepasi ambang ‘Masyarakat Menua’ pada 2024, sekali gus mempercepatkan permintaan untuk perkhidmatan khusus bagi warga emas dan Aman Seterra Sanctuary bersedia menjadi model komuniti persaraan mampan di Asia Tenggara.

“Terletak di lokasi yang cukup strategik, Aman Seterra Sanctuary akan memanfaatkan keindahan alam semula jadi yang mampu menarik kedatangan pesara dari luar negara, ia dibangunkan dengan reka bentuk bangunan bercirikan hijau dan mesra alam yang mempunyai taman komuniti dan ruang luar yang menjanjikan gaya hidup mewah pada kadar mampu milik,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau mewakili Aman Lagenda Sdn Bhd menandatangani Perjanjian Usaha Sama Merangkap Perjanjian Pemegang Saham bersama Seterra Holdings Sdn Bhd yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Seterra Group of Companies Rashidi Yahaya dan turut disaksikan Pengerusi BDB Sr Che Had Dhali serta Pengerusi Eksekutif Seterra Group of Companies M Yusof Ahamad.

Raja Shahreen berkata Aman Seterra Sanctuary akan menyediakan kemudahan dan infrastruktur yang lengkap serta memenuhi kehendak dan keperluan yang diperlukan oleh pesara dan warga emas antaranya pusat penjagaan ambulatori mini dan klinik memori untuk penjagaan dementia, program pemulihan dan kesejahteraan, ruang sosial, ruang hiburan serta ruang solat khusus.

“Aman Seterra Sanctuary ini juga dijangka dapat meningkatkan potensi pelancongan dengan menarik minat pesara antaranya dari Jepun, Australia dan Singapura...kita harap menjelang awal 2028, pesara dan warga emas boleh mula mendiami perkampungan persaraan itu,” katanya.

Sementara itu, Rashidi berkata sebanyak 780 unit kediaman akan disediakan di Aman Seterra Sanctuary yang mana pesara dan warga emas boleh memilih untuk tinggal sama ada di apartment atau premium suites yang menyediakan bilik jenis  studio, dua bilik tidur dan tiga bilik tidur.

“Kedah menjadi negeri pertama di Malaysia yang mengambil inisiatif mewujudkan projek seperti ini dan sudah pastinya akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri di mana ia akan menyediakan peluang pekerjaan dalam sektor kesihatan, hospitaliti, pembinaan dan pengurusan serta merangsang perniagaan setempat seperti peruncitan dan perkhidmatan sokongan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan