EKONOMI > BERITA

RISIKO KEKAL TERKAWAL DALAM SEKTOR HARTANAH BUKAN KEDIAMAN - BNM

24/03/2025 03:27 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Risiko kekal terkawal dalam sektor hartanah bukan kediaman (NRP) walaupun terdapat cabaran yang berterusan dalam segmen ruang pejabat dan kompleks beli-belah (OSSC) pada separuh kedua 2024.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Tahun Dua 2024 (ST2 2024) yang dikeluarkan hari ini berkata kebimbangan mengenai kadar kekosongan ruang pejabat yang tinggi kekal kerana bekalan baharu terus mengatasi permintaan.

Ia berkata jumlah stok ruang pejabat di Lembah Klang meningkat sedikit kepada 121.7 juta kaki persegi pada suku keempat tahun 2024 (S2 2024: 121 juta kaki persegi).

Pemerhatian berterusan berhubung dengan pilihan kontrak penyewaan yang lebih fleksibel dan pengaturan kerja hibrid menunjukkan bahawa pelarasan dalam bekalan masih memerlukan usaha yang berterusan, katanya.

Setakat suku keempat 2024, kadar kekosongan dalam segmen ruang pejabat kekal tinggi pada 28.3 peratus (suku ketiga 2024: 28.4 peratus; suku kedua 2024: 28.4 peratus).

Sementara itu, keadaan dalam segmen kompleks beli-belah bertambah baik sedikit dalam tempoh tersebut seperti yang diperhatikan melalui penurunan kadar kekosongan dalam keadaan bilangan pengunjung yang lebih tinggi serta keadaan permintaan yang menggalakkan.

Risiko terhadap kestabilan kewangan yang timbul daripada kelemahan berterusan yang diperhatikan dalam segmen OSSC dinilai kekal terkawal.

Dedahan sistem perbankan kepada segmen OSSC adalah terhad, mencakupi hanya bahagian yang kecil daripada jumlah pinjaman sistem perbankan (2.5 peratus; Jun 2024: 2.6 peratus).

Kualiti aset pinjaman OSSC kekal stabil dengan nisbah pinjaman terjejas sebanyak dua peratus pada akhir bulan Disember 2024 (Jun 2024: 2.1 peratus).

Median nisbah pinjaman kepada nilai terkumpul untuk segmen OSSC juga kekal berhemat (Disember 2024: 59.5 peratus; Jun 2024: 58.9 peratus).

Pada masa hadapan, prospek jangka pendek bagi segmen OSSC kekal berwaspada berikutan kelemahan yang sedia ada dalam segmen tersebut, kata BNM.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan