Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Pengerusi Bursa Malaysia Bhd Tan Sri Abdul Wahid Omar menerima Anugerah Saleh Kamel yang berprestij untuk Ekonomi Islam pada Simposium Ekonomi Islam AlBaraka ke-45 di Madinah.
Beliau adalah antara 10 perintis perbankan Islam menerima anugerah itu yang diadakan sempena ulang tahun ke-50 pembangunan perbankan Islam.
Gabenor Wilayah Madinah Putera Salman bin Sultan bin Abdulaziz Al-Saud menyampaikan anugerah itu, menandakan satu peristiwa penting bagi mengiktiraf sumbangan selama berdeakad kepada kemajuan kewangan Islam.
Abdul Wahid menghadiri simposium itu pada 16 dan 17 April lepas sebagai moderator dan penceramah.
Beliau tidak menjangka untuk menerima pengiktirafan tersebut bagaimanapun menyifatkannya amat bermakna terutama sekali acara itu diadakan di kota suci Madinah.
"Saya berbesar hati dan rasa rendah diri dengan anugerah ini. Ini merupakan pengiktirafan bukan sahaja kepada kakitangan dalam pelbagai entiti perkhidmatan kewangan yang pernah saya kerja seperti Bursa Malaysia, Malayan Banking Bhd, Permodalan Nasional Bhd, Amanah Capital Group Bhd dan Bumiputra Merchant Bankers Bhd tetapi juga untuk Malaysia dan pengawal selia, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan seluruh sektor kewangan Islam.
"Malaysia sememangnya berada di barisan hadapan dalam pembangunan perbankan Islam, kewangan dan pasaran modal. Saya berharap anugerah ini akan terus memberi inspirasi kepada sektor berkenaan untuk meningkatkan dan berinovasi dalam menyokong dunia yang makmur, inklusif dan mampan," katanya kepada Bernama hari ini.
Anugerah Saleh Kamel untuk Ekonomi Islam ditubuhkan bertujuan memperingati sumbangan perintis Allahyarham Sheikh Saleh Kamel dan bagi mempromosikan kecemerlangan dalam penyelidikan.
Ia juga menyokong pengeluaran akademik khusus, menyerlahkan bakat baharu muncul dalam kewangan dan perundangan Islam serta mengembangkan pengaruh global dalam perbankan Islam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial