KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Malaysia Aviation Group (MAG) berkata ia tidak berhasrat untuk terus menerima suntikan modal daripada pemegang saham utamanya, Khazanah Nasional Bhd.
Pengarah Urusan kumpulan Datuk Kapten Izham Ismail berkata kumpulan itu beroperasi dengan berpandukan prinsip yang mengutamakan MAG sebagai perniagaan yang mampan secara komersial.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan memerlukan sokongan pemegang saham jika keadaan makroekonomi merosot dengan ketara, memetik senario yang serupa dengan kesan COVID-19.
Menurut Izham, MAG menerima suntikan dana daripada Khazanah Nasional sebanyak RM3.6 bilion pada 2021 untuk menyokong perniagaan syarikat penerbangan itu, dengan RM1.3 bilion telah digunakan setakat ini.
Jadi, kami masih mempunyai baki daripada dana itu bagi mengharungi cabaran semasa. Sebenarnya, adalah tidak adil bagi pemegang saham untuk menyalurkan dana kerana ketidakcekapan organisasi, katanya.
Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata pada masa depan MAG terbuka untuk membeli pesawat daripada Perbadanan Pesawat Komersial China (COMAC).
"Berhubung perolehan pesawat dengan COMAC itu, ia masih dalam penilaian kami," kata Izham.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial